Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Prosiding SRC International membabitkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk hari ke-42 hari ini.

Dalam kes ini, Najib yang merupakan bekas Presiden UMNO berdepan dengan pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada prosiding hari ini, saksi ke-54, bekas Pengurus Perhubungan Ambank Berhad, Joanna Yu Ging Ping, 48, akan menyambung keterangan ketika pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh.

Joanna merupakan antara saksi yang sangat dinantikan-nantikan kerana beliau dikaitkan mempunyai perhubungan terus dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low dalam urusan transaksi akaun peribadi Najib.

Semalam ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram adakah beliau ‘berkonspirasi’ dengan Jho Low sehingga mengheret Najib ke mahkamah, Joanna berkali-kali mengatakan tidak.

Bagaimanapun, Joanna mengakui dirinya banyak berhubung dengan Jho Low walaupun mandat dan amanah untuk menguruskan akaun peribadi Najib hanya diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Joanna mengakui Nik Faisal jarang sekali menjawab panggilan telefon atau pesanan daripadanya kecuali jika terdapat ‘campur tangan’ daripada Jho Low dan selalunya wanita itu akan menghubungi mereka jika terdapat pengeluaran melebihi had.

Saksi juga mengakui Jho Low pernah menegurnya kerana tersalah hantar penyata kad kredit milik Najib ke alamat Pejabat Perdana Menteri dan bukannya ke pejabat Nik Faisal seperti yang pernah diarahkan sebelum ini.

Bagaimanapun Joanna tetap menafikan teguran itu dilakukan kerana mahu menyembunyikan penyata daripada Najib.

Sebaliknya, kata beliau, arahan adalah menghantar penyata kepada pemegang mandat, Nik Faisal dan bukannya pejabat Perdana Menteri.

Joanna juga memberitahu Mahkamah Tinggi semalam sejumlah besar wang melebihi RM150 juta telah didepositkan ke dalam tiga akaun AmBank milik Najib antara tahun 2014 hingga 2015.

Perbicaraan bersambung hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada kira-kira jam 10.30 pagi. – MalaysiaGazette

Jho Low arah saksi jangan hantar kenyataan bank kepada Najib

Jika tidak dapat hubungi Nik Faisal, saya akan cari Jho Low sahaja – Saksi