Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof bercakap semasa sesi soal jawab pada Program Perkongsian Petang Institut Kepimpinan dan Strategi Asia di Universiti Sunway,Bandar Sunway, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 JULAI 2019

PETALING JAYA – Malaysia perlu memperbaiki kedudukannya dalam Indeks Komuniti Keusahawanan Global (GEDI) yang kini di tangga ke-58 kepada sekurang-kurangnya pada kedudukan ke-30 menjelang tahun 2030.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, perkara itu boleh dicapai melalui Dasar Keusahawan Negara (DKN) yang pemangkin kepada kecemerlangan usahawan tempatan.

“Kedudukan tidak jauh hebatnya, kalau anda perasan dalam Komuniti Keusahawanan Global, Malaysia mempunyai ekonomi yang terbaik, negara lain mahu meniru kita.

“Kita harus mengekalkannya, supaya orang boleh lihat kita sebagai pendahulu negara membangun dengan inovasi dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Universiti Sunway, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Redzuan menghadiri Program Perkongsian Petang Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di Universiti Sunway, Bandar Sunway di sini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mensasarkan sehingga 50 peratus sumbangan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

“Ia adalah cabaran besar, sebab itu kita perlu melakukan perubahan kepada suasana ekonomi (keusahawanan) negara.

“Salah satunya kita mengubah ekonomi sedia ada menjadi digital dan memberi fokus kepada industri halal yang sangat besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette