Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bercakap kepada media pada Pelancaran Strategi Celik Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan tiada tekanan politik semasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kes video seks yang didakwa dilakukan oleh seorang menteri kabinet.

“Saya tidak mendapat sebarang tekanan politik. Saya lakukan (siasatan) secara profesional.

“Siasatan masih berjalan tetapi apabila saya katakan (kes tersebut) membuang masa kerana saya perlu menjawab pertanyaan ramai orang dan terpaksa berhadapan dengan situasi begini (disoal wartawan), ini membuang masa.

“Biarkan pasukan saya melakukan kerja mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di sini hari ini.

Abdul Hamid juga menafikan terdapat pemimpin parti politik yang akan dipanggil polis bagi membantu siasatan.

Ketika ditanya mengenai tempoh tahanan reman Haziq Aziz yang tamat hari ini, beliau menjawab: “Saya tidak tahu (sama ada beliau dibebaskan atau tidak).

“Saya serahkan kepada pasukan saya dan mereka tidak akan membuat laporan kepada saya, setiap kali ada perkembangan sebegini. Saya mempunyai banyak kerja lain yang lebih penting,” katanya.

Menyentuh mengenai kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar yang mengatakan terdapat elemen sabotaj dalam insiden tumpahan diesel di Sungai Selangor, Abdul Hamid berkata, beliau sangat serius menangani kes tersebut.

“Saya ambil serius kes ini. Zaman ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dahulu, isu membabitkan sabotaj prasarana-prasarana penting ini boleh dikenakan tindakan di bawah akta berkenaan.

“Bayangkan bertapa pentingnya perkara ini. Jadi, saya telah mengarahkan Ketua Polis Selangor untuk menyiasat secara mendalam perkara ini.

“Kita akan gunakan apa-apa akta yang paling berat yang kita boleh guna kerana perbuatan tersebut telah memberi kesan kepada empat hingga lima juta penduduk di negeri itu.

“Saya tidak akan sambil lewa dalam siasatan ini,” katanya.-MalaysiaGazette