Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany. Foto IQBAL BASRI, 23 JULAI 2019.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima aset baharu berupa tiga buah helikopter dan 18 buah kapal pemintas ‘Fast Interceptor Craft’ (FIC).

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata, perolehan aset baharu itu berjumlah RM440 juta.

“Perolehan aset baharu helikopter dan kapal pemintas akan memperkukuhkan armada laut negara di sampig membantu pergerakan Pasukan Khas Laut (Paskal) melaksanakan operasi di perairan.

“TLDM menjangkakan menerima tiga buah helikopter dan 18 buah FIC masing masing berjumlah RM220 juta.

“Bagaimanapun segala perolehan itu bergantung kepada kemampuan peruntukan kewangan dan ia bagi menghentikan helikopter Super Lynx sedia ada sudah berusia dan operasi lebih kepada membawa dan melancarkan peluru berpandu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang Perjumpaan Panglima tentera Laut bersama Media sempena Penembakan Peluru Berpandu Exocet dan SEASkua-EKS Taming Sari 19/2019 di Wisma Pertahanan kementerian Pertahanan pagi tadi.

Tambah Mohd Reza, tender pembelian aset-aset baharu itu sudah dibuka.

“Kita dah buka tender untuk perolehan aset baharu itu tetapi jenisnya masih belum ditentukan,” ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan kontrak pembelian itu akan ditandatangani dengan pihak berkaitan pada tahun ini dan aset tersebut akan cuba diperolehi secepat mungkin.

“Pada permulaan kita menjangkakan dapat memperolehi helikopter untuk operasi maritim yang mana ia akan berperanan ke arah utiliti kepada Paskal TLDM.

“Helikopter berkenaan boleh digunakan khususnya jika dihantar ke tempat yang tak ada landasan kapal terbang dan akan ada pasukan skuadron khas nanti.

“Manakala sebagai permulaan hasratkan 18 buah FIC untuk memperkukuh sekuriti di Sabah Timur selain membantu sahabat penguatkuasaan kita dari TUDM, ATM, APMM dan PDRM bagi menentukan keadaan selamat dan terkawal,

“FIC ini juga mempunyai kelebihan boleh melalui kawasan lebih cetek yang kebiasaanya tidak boleh dilalui bot biasa,” katanya.- MalaysiaGazette