Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Peguam Negara Tommy Thomas hari ini memohon supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon maaf atas ‘kesalahan’ membuat posting awam ketika kes itu yang masih berjalan.

Kata Tommy, Najib juga perlu berjanji untuk tidak lagi mengulangi kesalahan menulis secara terbuka seperti di laman sosial Facebook perihal kes SRC International bagi tujuan membela dirinya ketika prosiding sedang berjalan kerana di anggap subjudis.

MGF18072019_MAHKAMAH NAJIB21
Peguam Negara, Tommy Thomas

Tommy berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebentar tadi.

Bagaimanapun, Mohd Nazlan kemudian meminta pasukan pendakwa untuk mengemukakan permohonan bertulis bagi tuntutan tersebut, selain daripada menyebut dengan jelas apakah yang dikehendaki oleh pihaknya.

Selain daripada permohonan ini, pasukan peguam bela yang diketuai oleh Tan Sri Shafee Muhamad pula memohon kebenaran mahkamah membatalkan arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada AmBank iaitu supaya tidak memberi maklumat mengenai akaun Najib yang jelas melanggar hak anak guamnya.

Shafee semasa berhujah mengatakan SPRM sepatutnya membenarkan Najib untuk mendapatkan penyata akaunnya,bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram bangkit memberitahu bahawa mahkamah sudah mengeluarkan perintah tidak membenarkan penyata diberikan pada 15 Mei lepas.

“Jangan gunakan prosiding ini untuk mendapatkan dokumen tertentu seperti ini,” tegasnya.

Peguam bela, Harvinderjit Singh pula bangkit menuduh pasukan pendakwa ada rancangan untuk menggagalkan kes oleh pihak pembelaan, malah tidak ada peruntukan untuk menafikan hak pemegang akaun.

Prosiding bersambung jam 2.30 petang ini. –MalaysiaGazette

Adakah Najib akan diarah mohon maaf oleh mahkamah?