KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia hari ini melakukan penerbangan ehsan membawa seorang pesakit berusia 42 tahun yang menghidap penyakit ‘Saccular anterior communicating artery aneurysm dari Lapangan Terbang Tawau ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu untuk menjalani pembedahan segera di Hospital Queen Elizabeth II.

Jabatan Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan memberitahu pesakit bernama Roslan Marjan diterbangkan dengan pesawat TUDM jenis Helikopter Nuri S61A-4.

Kata TUDM, pesawat itu dikendalikan juruterbang Mejar Muhamad Rusli Wan Sulaiman TUDM dan Kapten Ahmad Hazman Jaafar TUDM selaku pembantu juruterbang serta dibantu dua krew telah berlepas pada jam 9.25 pagi dari Lapangan Terbang Tawau.

pesakit nuri2
Pesakit dikejarkan ke hospital Queen Elizabeth II menggunakan Helikopter Nuri TUDM hari ini.

“Pesawat bersama pesakit selamat mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada jam 10.45 pagi dan pesakit dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan segera,” kata kenyataan itu.

Waris pesakit, Masdia Budin iaitu isteri dan Husain Parence bapa mengiringi pesakit dalam penerbangan beserta seorang pegawai perubatan Hospital Besar Tawau iaitu Chew Tien Chuen dan jururawat Staf Aishah Aminah Ithnin.

TUDM sentiasa komited dan berkesungguhan tinggi memenuhi keperluan kebajikan masyarakat seumpama ini.- MalaysiaGazette