Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Selepas Perak dan Terengganu, kini giliran PKR Kelantan pula menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebanyak 11 daripada 14 cabang hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Anwar yang kini menerajui parti gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Bahawa kami menyatakan ikrar taat setia dan menyokong penuh tanpa belah bahagi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menjadi nakhoda utama menerajui parti tercinta ini dan juga barisan pimpinan negeri sedia ada,” kata kenyataan yang itu yang diketuai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor.

Selain Mohamad Supardi sebagai Ketua Cabang Tanah Merah, antara lain Zinda Khalil Sastro Hassan (Kota Bharu), Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain (Pengkalan Chepa), Mohd Rafi Hashim (Jeli), Prof Madya Saharun Ibrahim (Tumpat), Ismail Mohamad (Pasir Puteh), Mohd Roslan Puteh (Kuala Krai), Datuk Mohd Rowi Dollah (Bachok), Datuk Muhammad Azmi Alwi (Pasir Mas), Mohd Redzuan Alias (Machang), dan Zulqarnian Zakaria (Gua Musang).

Terdahulu 24 Cabang PKR Perak dan 20 ahli jawatankuasa majlis pimpinan PKR negeri Terengganu menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Anwar.

Dua ketua cabang PKR di Perak yang ‘tiada dalam senarai’ menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Abdul Yunus Jamhari (Parit Buntar) dan Chua Yee Ling (Bukit Gantang). -MalaysiaGazette