Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (tengah) berswafoto bersama pengajar dan peserta pada Karnival Perdana Briged Bakti Malaysia Remaja 2019 di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2019

BANGI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tidak ramai rakyat di negara ini yang sanggup berbakti secara sukarela.

Ujarnya, hanya mereka yang dikurniakan kecekalan dan iltizam yang amat tinggi mampu untuk memikul tugas-tugas sebagai
sukarelawan.

Justeru itu, beliau merasakan golongan muda dan profesional harus mengambil langkah sama dalam memupuk semangat sukarelawan di dada mereka.

“Saya juga merasakan golongan muda dan profesional harus digalakkan untuk melakukan kerja-kerja bakti dan sukarela.

“Kempen-kempen berbentuk motivasi untuk memupuk minat orang ramai dalam tugas-tugas kesukarelawanan dan penyampaian mesej yang baik dalam melakukan kerja-kerja bakti, perlu dipertingkatkan untuk menarik minat lebih ramai golongan masyarakat dalam melakukan kerja-kerja bakti dan amal,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis penutup Karnival Perdana Pasukan Briged Bakti Malaysia Remaja peringkat kebangsaan di Institut Pendidikan Guru (IPG), hari ini.

Ujarnya, kerja-kerja bakti dan amal bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada kepada individu berkenaan malah juga kepada masyarakat sekeliling.

“Hakikatnya para sukarelawan adalah insan-insan yang berbudi dengan ikhlas kerana Allah.

“Sebahagiannya tidak dikenali dan tidak pula ingin mencari publisiti, bahkan menaburkan jasa yang meninggalkan kesan abadi pada jiwa-jiwa manusia lain,” katanya. -MalaysiaGazette