GEORGE TOWN – Seramai enam orang lagi penguatkuasa JPJ dibawa ke Mahkamah Sesyen di Butterworth dekat sini hari ini untuk menghadapi pertuduhan rasuah bersekongkol dengan pengusaha lori di sekitar Pulau Pinang.

Mereka ini merupakan sebahagian dari 18 orang anggota dan pegawai JPJ yang bakal diheret ke mahkamah secara berperingkat-peringkat mulai hari ini seperti yang diumumkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya semalam.

“Pegawai (yang terlibat untuk didakwa) itu bukan bertaraf tinggi sangat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Pulau Pinang semalam.

Mereka yang didakwa hari ini merupakan sebahagian dari 31 individu termasuk 23 anggota penguatkuasa JPJ yang ditahan SPRM 16 April lepas bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya yang membawa muatan berlebihan di sekitar negeri itu.

Semua penguatkuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 dan RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ. – MalaysiaGazette