Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yb Zuraidah Kamaruddin (dua kiri) menyerahkan dokumen bantuan perumahan FundMyHome + Skim Depositku kepada salah seorang penerima, Nur Saidatul Izuanis Salleh,22 (dua kanan) sambil diperhatikan oleh Pengerusi EdgeProp Sdn Bhd, Datuk Kooi Ong (kiri) di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Keputusan meluluskan pembiayaan perumahan untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah disenaraihitamkan dalam rekod Sistem Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS). terletak di tangan bank.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, polisi senarai hitam sebenarnya tidak menunjukkan peminjam mempunyai komitmen hutang berlebihan.

“Graduan baharu yang baru melangkah ke alam kerjaya dia punya credit worthiness sangat tinggi.

“Dia tak ada pinjaman lain, tidak ada hutang sebab dia belum beli kereta, rumah atau beli benda lain, jadi dia punya credit worthiness itu masih banyak lagi yang boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan pinjaman perumahan,” katanya pada sidang media skim FundMyHome di kementerian beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang risiko yang mungkin dihadapi bank sekiranya meluluskan pinjaman perumahan kepada graduan yang gagal membayar balik pinjaman pendidikan mereka.

Dalam perkembangan sama, menurut Ahli Parlimen Ampang itu lagi, CCRIS merupakan Blanket Policy yang tidak berdasarkan kepercayaan kredit peminjam PTPTN.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR itu pernah mengumumkan bahawa peminjam PTPTN mungkin dapat membeli rumah setelah mereka dikecualikan daripada senarai hitam CCRIS.

Terdahulu dalam ucapannya, Zuraida menasihatkan graduan muda supaya tidak cenderung membeli kereta terlebih dahulu, sebaliknya mereka perlu mengutamakan pemilikan kediaman baharu sebagai aset.

“Kami mahu jadikan anak-anak muda untuk menjadi pemilik aset menerusi skim pemilikan rumah sebegini.

“Ini adalah budaya yang mereka harus mula dari sekarang dan belilah rumah dulu yang akan menjadi aaet yang berharga setelah mencapai usia lebih 30 tahun nanti sebagai mas kahwin untuk melangsungkan perkahwinan dan ia akan memberi manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang,” katanya. – MalaysiaGazette