Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemimpin DAP yang didakwa menggunakan saluran belakang bagi menyelesaikan isu-isu kewarganegaraan yang sepatutnya dibincangkan secara terbuka dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, mesyuarat Kabinet Kerajaan dan sidang Parlimen.

Tindakan itu seolah-olah menunjukkan seperti ada agenda yang disembunyikan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pihak risau dan bimbang dengan laporan ‘pertemuan tertutup’ enam pemimpin DAP dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi membincangkan isu-isu kewarganegaraan di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) kelmarin.

Enam pemimpin DAP ini adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Beruas, Dato’ Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng.

Ironinya, kata Asyraf, Guan Eng, turut sama dalam pertemuan tersebut sehingga meninggalkan tugas lebih penting sebagai Menteri Kewangan.

Walhal pertemuan tersebut membabitkan sekumpulan individu tertentu dan melibatkan bidang kuasa Menteri Dalam Negeri

“Semakin merisaukan kerana berdasarkan pemerhatian soalan-soalan membabitkan isu-isu kewarganegaraan dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen DAP dalam Parlimen yang rata-ratanya menyuarakan kehendak supaya pemberian kewarganegaraan dipermudahkan untuk golongan-golongan tertentu!,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini setegas-tegasnya mendesak Menteri Dalam Negeri supaya mendedahkan perkara-perkara yang diperbincangkan dan dipersetujukan dalam pertemuan ini memandangkan seorang pemimpin DAP mendakwa bahawa pertemuan itu membuahkan hasil.

Malah, Muhyiddin dan Kerajaan Malaysia juga didesak Mendesak Menteri Dalam Negeri supaya tidak bertolak-ansur dalam isu-isu kewarganegaraan ini kerana ia adalah sebahagian daripada kontrak sosial waktu merdeka dan perlembagaan wajib dipatuhi sepenuhnya. – MalaysiaGazette