Reaksi ceria Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yb Zuraidah Kamaruddin (tengah) selepas Penyerahan Dokumen FundMyHome + Skim Depositku kepada penerima-penerima di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mensasarkan 130,000 unit rumah di bawah FundMyHome Skim Depositku di milik rakyat menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Zuraida Kamarudin optimis sasaran itu mampu dicapai dan sebagai permulaan permohonan 50 daripada 300 orang telah diluluskan.

Katanya, kunci kediamanan akan diserahkan tidak lama lagi dan pada hari ini seramai 16 orang menerima kunci rumah masing-masing.

Zuraida memberitahu, FundMyHome Skim DepositKu merupakan inisiatif bujan konvensional dan kreatif bagi membantu rakyat, khususnya golongan muda, memiliki rumah pertama mereka.

“Saya difahamkan kesemuanya 300 orang memohon berjaya untuk memiliki rumah menerusi Skim FundMyHome dan 50 sudah habis urusan kertas kerja dan sebagainya untuk diserahkan kunci rumah di Rumah Harmoni, Semenyih.

“Kita sedia maklum kesusahan mereka khususnya kebanyakan golongan muda untuk mendapatkan pinjaman bank untuk membuktikan pendapatan mereka, disebabkan gaya hidup baharu, disebabkan kerja sambilan (freelance) dan ketiadaan dokumen lengkap gaji sebagainya.

“Skim ini akan memudahkan mereka memiliki rumah dan dalam 16 orang tadi diserahkan perjanjian jual beli, kebanyakan golongan muda sekitar 22 tahun dan bawah 30 tahun yang terbukti menarik orang muda memiliki rumah yang disediakan EdgeProp Sdn. Bhd.,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan surat perjanjian jual beli kepada 16 pembeli pertama di kementerian beliau.

Hadir pada majlis, Pengerusi EdgeProp, Datuk Tong Kooi Ong.

Kata Zuraida, rumah yang disediakan EdgeProp memiliki pelbagai kemudahan termasuk kolam renang dan keluasan unit melebihi 900 kaki persegi yang mana ia sesuai untuk golongan muda serta graduan yang baru melangkah ke alam pekerjaan.

“Fungsinya senang iaitu pembeli hanya perlu mencari dan membayar 20 peratus daripada nilai hartanah tanpa memerlukan gadai janji bank, dan tiada keperluan untuk bayaran balik bulanan.

“Manakala baki 80 peratus daripada harga belian disumbangkan oleh pelabur bersama institusi yang mengambil bahagian yang berkongsi kenaikan nilai pada masa depan.

“Katakan harga rumah RM300,000 maka kamu hanya perlu mengusahakan wang RM60,000 atau 20 peratusnya dan tidak perlu bayar sesen pun selama lima tahun dan selepas itu kamu tak perlu bayar duti setem juga dan boleh memohon pembiayaan penuh yang mana in satu langkah yang bijak,” katanya.

Tambah beliau, ribuan orang telah mendaftarkan untuk skim berkenaan tetapi masih belum mempunyai unit yang mencukupi dan EdgeProp dalam proses untuk mencari pemaju dan unit rumah untuk dijual.

Justeru katanya, skim itu akan diperluaskan ke seluruh negara dengan kerjasama EdgeProp yang akan memujuk pemaju hartanah dalam usaha mendapatkan unit yang akan diserap dalam skim itu.

“Kita sasarkan 130,000 unit di bawah skim ini menjelang akhir tahun ini di seluruh negara, bukan sekadar di Kuala Lumpur  dan pemohon boleh terus memohon kepada EdgeProp mengikut lokasi mana berminat untuk memiliki rumah,” katanya.- MalaysiaGazette