Anggota peronda daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu sebelum itu sedang melakukan rondaan di Kedai Lalat sebelum terserempak dengan kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

BESUT – Gara-gara gagal untuk rujuk semula, seorang lelaki bertindak menikam bekas isterinya menggunakan pemutar skru, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, dalam kejadian kira-kira 4.35 petang itu, mangsa yang berumur 28 tahun terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Besut setelah mengalami kecederaan.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai, didatangi suspek berusia 31 tahun ketika sedang bekerja di Pantai Air Tawar, di sini.

“Berang apabila mangsa tidak mahu rujuk semula, suspek bertindak menikam mangsa dengan menggunakan pemutar skru di bahagian muka dan tangan.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian bawah mata sebelah kanan, luka di tangan kanan dan tangan kiri serta kening sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Zamri berkata, mangsa berkahwin dengan suspek, seorang nelayan, pada 2014 dan mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun, sebelum bercerai pada 15 Julai 2017.

Beliau berkata, polis berjaya menahan suspek di tepi jalan Kampung Cawat di sini, dan akan direman untuk siasatan lanjut. – Bernama