Atletico Madrid mendesak La Liga menyekat pemain itu daripada beraksi bersama Barcelona

MADRID – Atletico Madrid mengutus surat kepada La Liga untuk menyekat Antoine Griezmann daripada beraksi untuk kelab baharunya, Barcelona pada musim depan yang akan membuka tirai Ogos ini.

Presiden La Liga, Javier Tebas mengesahkan gesaan yang dibuat kelab itu terhadap pengurusan tertinggi liga tersebut.

Atletico Madrid juga mengemukakan aduan ke atas The Catalans kepada Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) berhubung isu itu.

RFEF sebelum ini membuka kertas siasatan mengenai isu perpindahan Griezmann ke Nou Camp selepas Los Colcheneros mendakwa Barcelona masih belum menjelaskan baki bayaran pembelian Greizmann sepenuhnya.

Barcelona dikatakan masih perlu menjelaskan baki tunggakan sebanyak 76 juta pound selepas menjelaskan 108 juta pound sebelum ini.

Berikutan itu, Atletico mahu Griezmann dihalang daripada beraksi untuk kelab baharunya.

Javier Tebas
Javier Tebas sahkan La Liga menerima aduan Atletico Madrid yang mahu badan kawal selia itu menyekat Griezmann daripada beraksi untuk Barcelona dalam La Liga musim Ogos ini.

Tebas berkata, pihaknya mempunyai kuasa untuk menyekat pemain itu beraksi jika memilih untuk berbuat demikian.

“La Liga perlu membuat keputusan bentuk tindakan yang perlu dikuatkuasakan dalam perkara ini,” katanya.

Pemenang Piala Dunia 2018 itu menandatangani kontrak lima tahun bersama Atletico musim lalu termasuk klausa pelepasan bernilai 180 juta pound.

Namun yuran itu dikurangkan sebanyak 10 juta pound pada 1 Julai lalu yang telah dibayar Barcelona.

Namun skuad Diego Simeone mendesak pihak berkuasa bola sepak Sepanyol meneliti semula rundingan pembelian pemain yang berlaku antara kedua dua kelab itu.

Menurut Atletico, Griezmann komited untuk berhijrah ke Nou Camp sebelum nilai klausa dikurangkan. – Agensi