Prof. Dr. Faaizah Shahbodin menerima trofi dari Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR – Penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Dr. Faaizah Shahbodin telah mengharumkan nama UTeM di peringkat antarabangsa menerusi kejayaan beliau memenangi SEAMEO – Jasper Research Award.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Pusat Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik UTeM telah menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sempena Majlis Makan Malam Majlis 50th SEAMEO Council Conference di Kuala Lumpur pada hari Selasa lepas.

Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abd Rahim dalam ulasan beliau mengenai kejayaan tersebut melahirkan rasa syukur dan kegembiraan di atas pencapaian berimpak itu dan beliau turut merakamkan ucapan tahniah di atas pencapaian tersebut lalu melonjakkan jenama UTeM hingga ke peringkat antarabangsa menerusi penyelidikan dan inovasi dalam membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, kejayaan tersebut diharapkan menjadi pemangkin semangat kepada kumpulan penyelidik UTeM yang lain agar sama-sama meluaskan lagi rangkaian hasil penyelidikan dan inovasi merentas sempadan komuniti termasuklah golongan
yang kurang berkemampuan dan kelainan upaya.

50th SEAMEO Council Conference yang berlangsung telah dihadiri oleh 11 Menteri Pendidikan Negara-Negara SEAMEO iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Lao People's Democratic Republic, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste, dan Vietnam.

Dalam persidangan yang sama juga, turut terdapat pelbagai wakil dari Negara Ahli Bersekutu SEAMEO iaitu Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Belanda, New Zealand, Sepanyol dan United Kingdom di samping lima ahli gabungan iaitu The International Council for Open and Distance Education (ICDE), University of
Tsukuba, the British Council, China Education Association for International Exchange (CEAIE), and UNESCO Asia-Pacific Centre of Education for International Understanding (UNESCO-APCEIU).

Turut tidak ketinggalan pada persidangan tersebut adalah 26 Pusat Serantau dan Rangkaian SEAMEO yang dijemput sebagai pemerhati sewaktu persidangan tersebut diadakan.- MalaysiaGazette