Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad meluangkan masa melawat ruang barangan harian bersama Pengarah Urusan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Pierre Olivier Deplanck (kiri) pada Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Gula Hidup Sihat di Pasar Raya Besar Giant USJ, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 JULAI 2019

SUBANG JAYA – Laporan autopsi mengenai kematian 12 Orang Asli dari Kuala Koh, Gua Musang yang dipercayai akibat jangkitan radang paru-paru akan dapat diketahui tidak lama lagi.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, ia bergantung kepada rumusan yang akan dibuat oleh pasukan forensik hari ini.

“Laporan kematian 12 mayat Orang Asli yang digali semula dan melalui proses autopsi itu sedang di peringkat akhir.

“Hari ini pihak kementerian akan jumpa pasukan forensik akan berjumpa dan bidang dan mereka akan rumuskan (laporan autopsi) dan mereka akan kemukakan kepada saya,” katanya dalam sidang media di Subang Jaya hari ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini bertindak menggali semula kubur 12 mayat Orang Asli bagi menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut berkata laporan Presiden Persekutuan Persatuan Perubatan Perubatan Malaysia (FPMPAM) Dr Steven Chow bahawa air di kawasan itu tercemar juga merupakan satu perkara lain.

“Dr. Stephen mungkin telah dapati sungai tercemar dan logam berat yang terdapat dalam sungai itu ada dalam pengetahuan kami.

“Tapi untuk hubung kaitkan faktor alam sekitar dengan faktor punca kematian itu satu hal yang lain,” katanya lagi.

Sebelum ini, Steven berkata, ujian makmal terhadap sampel yang diambil dari sumber air di sekitar Kampung Kuala Koh di Gua Musang, yang menyaksikan kematian 15 penduduk Orang Asli suku Bateq, mendapati kewujudan kandungan bahan pencemar dan toksik. – MalaysiaGazette