Ketua DAP Selangor, Tony Pua mengesahkan bahawa beliau tidak akan mempertahan jawatannya dalam pemilihan parti peringkat negeri pada 9 Disember akan datang.
Tony Pua

KUALA LUMPUR- Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua menyanggah dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan keputusan kerajaan untuk menyegerakan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak akan dibuat sebaik menerima balik pinjaman sebanyak RM350 juta daripada kerajaan negeri itu sebagai “kenyataan politik kasar” dan cuba mengeruhkan hubungan di antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Jelasnya, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu adalah satu perkembangan positif dan dipersetujui oleh kerajaan Negeri Sarawak seperti mana yang dinyatakan dalam surat Ketua Menterinya kepada Guan Eng pada 15 Julai lalu.

“Kenyataan Pembantu Menteri Hal Ehwal Korporat di Pejabat Ketua Menteri, Abdullah Saidol yang menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan Isnin lalu sebagai “kenyataan politik kasar” amatlah dikesali.

“Lebih-lebih lagi, kenyataan Menteri adalah adalah selaras dengan Kerajaan Negeri Sarawak, seperti dimaklumkan dalam surat Ketua Menteri Sarawak kepada Menteri Kewangan pada surat yang diterima 15 Julai 2019.

“Menteri Kewangan telah jelas menyatakan kesudian beliau untuk bekerjasama dengan niat ikhlas untuk memastikan projek membaik pulih sekolah-sekolah daif tersebut dapat berjalan lancar, demi kebaikan rakyat negeri Sarawak.

“Kenyataan beliau yang berlandaskan fakta dan kesefahaman semua pihak tidak sepatutnya dijadikan modal untuk berpolitik oleh pihak-pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selasa lalu, Guan Eng dalam satu kenyataan memaklumkan proses perolehan dan perbelanjaan Fasa Pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak sebanyak RM350 juta akan disegerakan sebaik sahaja kerajaan negeri membayar hutang mereka.

Katanya, Ketua Menteri Sarawak telah menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bayaran balik pinjaman fasa pertama sebanyak RM350 juta dalam tempoh terdekat.- MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/22/baiki-sekolah-daif-selepas-sarawak-bayar-hutang/