Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Nampaknya Presiden PKR lebih mengutamakan Pulau Pinang berbanding janji memberi keadilan sosial kepada Sabah dan Sarawak terutama soal royalti minyak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berjanji untuk melaksanakan keadilan sosial kepada Sabah dan Sarawak.

“Berita terbaru mengatakan beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyokong idea untuk kerajaan persekutuan membantu Pulau Pinang membina LRT Pulau Pinang dan projek PIL dengan jumlah RM20 bilion amatlah dikesali.

“Nyata keutamaan beliau tersasar jauh. Beliau lebih suka membantu Pulau Pinang daripada Sabah dan Sarawak iaitu negeri yang masih mundur dalam sistem pengangkutannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Soal Abdul Rahman, apa sudah jadi kepada janji PH untuk membantu Sabah dan Sarawak?

“Setiap kali kerajaan negeri Sabah dan Sarawak memohon dana pembangunan, mereka dilayan dengan sikap acuh tak acuh kerajaan pusat dan jawapan biasa “tiada peruntukan”,” katanya.

Menurut beliau, Sabah dan Sarawak memerlukan dana RM20 bilion itu lebih dari kerajaan Pulau Pinang dan jalan raya di Sabah dan Sarawak masih jauh lebih daif dan teruk dibandingkan dengan Pulau Pinang.

“Atas semangat Malaysia baru, saya kira Datuk Seri Anwar tidak perlu fikir panjang kerana beliau tahu mana keutamaan yang perlu dilaksanakan.

“Ini janji PH! Datuk Seri Anwar perlu mengotakan janji selama 20 tahun PH untuk memberi keadilan sosial untuk Sabah dan Sarawak seperti yang beliau selalu canangkan,” katanya.- MalaysiaGazette