Datuk Seri Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu termasuk pemilik akaun Facebook Wendy Loong yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW perlu ditangani dengan baik secara bersemuka dan memberi penerangan agar penghinaan itu tidak berulang.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sejarah Islam menunjukkan penghinaan kepada nabi oleh bukan Islam mampu ditangani dengan pendekatan ilmu, hujah dan penerangan hakikat sebenar.

“Kami syorkan kalau boleh panggil orang tersebut terangkan hakikat apa yang kamu kenal tentang Nabi Muhamad SAW kami, sifatnya, akhlaknya dan sebagainya.

“Bila kita berdepan keadaan ini, yang pertama sekali, orang Islam mesti memahami apabila ini ditujukan, kita jawab balik, kita kemukakan hujah dan terangkan hakikat sebenar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran 40 Artitek Rasulullah SAW dan Sahabat di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Datuk Seri Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri meluangkan masa melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Pameran Artifak Rasulullah SAW da Para Sahabat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 JULAI 2019

Beliau mengulas tindakan pemimpin UMNO dan Pas di seluruh negara sejak Rabu lalu yang membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa menyiasat kebiadapan pemilik akaun Facebook bernama Wendy Loong yang memuat naik karikatur mirip Nabi Muhammad SAW dengan seekor babi.

Zulkifli berkata, ulama terkenal Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menggesa umat Islam menjadi media massa dan media sosial sebagai medium penerangan berkesan kepada bukan Islam.

“Sebab itu bagi saya, sejumlah ilmu, maklumat perlu ada dan kita susurkan dalam penerangan kita, dalam akhbar dan media masa kita.

“Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan salah satu jihad itu adalah melalui media, macam isu ini, kena tanya kepada para ulamak, mereka yang berkuasa, mereka yang telah buat kajian, yang memahaminya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette