Dr Ismail Bakar
Dr. Ismail Bakar

SUNGAI PETANI – Kerajaan mengalami kerugian antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun disebabkan kebocoran hasil yang berlaku di pintu masuk negara, kata Ketua Setiausaha Negara, Dr Ismail Bakar.

Katanya, kebocoran hasil itu antaranya oleh aktiviti penyeludupan yang berlaku, sama ada kerana kecuaian ataupun kekurangan peralatan untuk memantau dan mengawal pintu sempadan.

“Kebocoran hasil telah lama berlaku, kami memang ada data mengenai kebocoran hasil, terutama dari segi kecuaian kita ataupun dari segi peralatan kita tidak mencukupi…contohnya penyeludupan rokok dan minuman keras dan perkara ini masih lagi berlaku,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis perjumpaan bersama ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Negeri Kedah dan Perlis.

Tanpa mengulas lanjut mengenai data yang dimaksudkan itu, Ismail berkata, penggunaaan teknologi baru untuk memantau pintu sempadan perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan negara terus mengalami kebocoran hasil di situ.

Katanya, pemantauan ke atas penjawat awam yang bertugas mengawal pintu masuk juga perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka cekap menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Dalam pada itu, Ismail berkata, penjawat awam perlu berusaha untuk meningkatkan kerjasama dengan ahli politik, terutama yang menjadi anggota pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, bertugas di cabang yang sama, sama ada di peringkat kementerian atau agensi kerajaan, penjawat awam perlu melihat ahli politik ini sebagai golongan yang perlu disantuni, bukannya dijauhi. – MalaysiaGazette