Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong didakwa kantoi apabila memberi jawapan yang salah dalam Dewan Negara dan tindakannya itu seperti cuba untuk membersihkan nama ahli politik Pakatan Harapan (PH).

Ini jelas membuktikan bahawa Liew telah berbohong di dalam Dewan Negara kerana kenyataan beliau jelas bercanggah dengan surat yang terbocor dan jawapan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Perkara ini amatlah memalukan kerana Liew diberi tanggungjawab dan gelaran sebagai Menteri Undang-undang.

Lantaran itu, katanya, lebih baik Liew meletak jawatan sekiranya gagal memberikan penjelasan yang meyakinkan.

Ia kerana, menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, Malaysia tidak boleh menerima seorang Menteri Undang-undang yang langsung tidak hormat dan mengikut undang-undang.

“Jika perkara sebegini terus berlaku dan Liew terlepas dari sebarang tindakan, saya bimbang Malaysia akan menjadi sebuah negara yang tidak ada undang-undang – ‘lawless country’,” katanya dalam satu kenyataan di sini berhubung isu rasuah membabitkan Setiausaha Politik Datuk Salahuddin Ayub.

Pada hari Khamis, Liew telah memberi jawapan di dalam Dewan Negara bahawa SPRM telah melepaskan setiausaha politik itu daripada siasatan menerima suapan jam mewah daripada sebuah syarikat pemaju.

Liew kata SPRM membebaskannya kerana didapati pegawai menteri itu membeli jam tangan tersebut sendiri dan ianya bukan hadiah dan setiausaha politik telah menjelaskan di mana dia mendapat wang untuk membeli jam tangan tersebut.

Sehari kemudian, sebuah portal telah melihat sepucuk surat pengakuan yang mengatakan pegawai tersebut mengaku menerima jam tangan sebagai hadiah tetapi menafikannya sebagai rasuah.

Lagi parah buat Liew, kata Ka Siong apabila SPRM menjawab pada hari sama bahawa kes ini masih belum ditutup dan pegawai itu belum lagi dibebaskan dari tuduhan rasuah.

SPRM menjelaskan bahawa kertas siasatan kes tersebut baru dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya pada 10 Julai lalu.

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM enggan mengulas lanjut sama ada jam tangan itu hadiah atau beli sendiri ketika diminta mengesahkan perkara itu.

Liew pula didakwa membisu dan tidak memberi sebarang respon walaupun diberi ruang untuk menjawab oleh media. – MalaysiaGazette