Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menafikan dakwaan bahawa beliau mempunyai pendirian yang bercanggah terhadap dakwaan-dakwaan seks membabitkan pemimpin Kabinetnya yang lepas dan pada masa kini.

Dalam tulisannya bertajuk “Contradiction’, di blog miliknya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan yang diambil pada tahun 1998 bukannya berdasarkan pada klip video kerana ia datang kemudian.

Sebaliknya, mahkamah yang telah membuat keputusan.

“Tidak ada percanggahan.

“Video berikutnya tidak mempengaruhi mahkamah atau sesiapa pun. Ia tidak mempengaruhi saya,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, dalam kes terbaru ini, video muncul dahulu dan sudah tentu ia satu cubaan untuk menjejaskan nama individu tertentu itu bagi merosakkan masa hadapannya.

“Saya tidak berhasrat menjadi alat kepada dalang. Saya tidak akan menjadi sebahagian daripada politik kotor yang sedemikian,” jawabnya.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak mendakwa Dr Mahathir mempunyai pendirian berbeza dalam isu skandal seks yang berlaku pada masa sekarang dan pada tahun 1998.

Tulis Najib baru-baru ini:

Tahun 1998: Ini isu moral, bukan isu politik.

Tahun 2019: Ini isu politik, bukan isu moral.

Kejadian skandal seks ini berlaku ketika Dr Mahathir merupakan perdana menteri pada kedua-dua kejadian.

Kejadian yang berlaku pada tahun 1998 membabitkan Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri dan beliau dipenjarakan.

Pada tahun ini, muncul lagi video skandal seks juga mengaitkan seorang menteri kanan yang belum terbukti kesahihannya. – MalaysiaGazette

Pendirian Dr Mahathir dalam isu video seks berbeza-beza – Najib