KUALA LUMPUR –  Prestasi Bursa Malaysia dijangkakan tidak banyak berbeza minggu depan dengan peniaga menunggu petunjuk tempatan dan luar negara yang boleh mendorong peningkatan minat baharu terhadap saham wajaran tinggi ekoran pertikaian perdagangan AS-China yang belum selesai bagi menentukan arah tuju pasaran.

Unjuran pada 1,700 mata kini mungkin menjadi halangan utama, kata Malacca Securities Sdn Bhd.

“Kami menjangkakan peningkatan jika ada perkembangan positif dalam rundingan perdagangan itu atau sebaliknya, namun ia juga banyak bergantung kepada butiran perjanjian perdagangan dan impaknya ke atas perdagangan global dan prestasi ekonomi.

“Oleh itu, sebarang peningkatan mungkin terhad jika perjanjian perdagangan yang mungkin dicapai dilihat cetek, dan manfaat langsung yang kecil kepada pertumbuhan global,” katanya dalam kenyataan.

AS dan China, dua ekonomi terbesar dunia, sudah bersedia untuk meneruskan rundingan perdagangan mereka, dan berusaha merapatkan jurang perbezaan dalam perdagangan dan teknologi dan isu-isu geopolitik.

Pegawai AS mungkin terbang ke China untuk perbincangan itu antara 26 Julai dan 1 Ogos.

Pegawai White House itu bagaimanapun dilaporkan berkata mereka menjangkakan tempoh masa yang lebih lama untuk mencapai persetujuan, yang mungkin mengambil masa kira-kira enam bulan.

Sementara itu, Malacca Securities berkata walaupun indeks Modal Kecil FBM terlebih beli dan menunju kepada pengukuhan, masih terdapat kedudukan nilai yang besar apabila beberapa pemimpin industri membayangan prospek pertumbuhan yang kukuh bagi mengekalkan pertumbuhan pendapatan, selain penilaian yang masih menggalakkan.

“Bagaimanapun, kami berpendapat peluang belian akan muncul setelah pengukuhan bagi menyelaraskan kedudukan terlebih beli. Pada masa yang sama, saham yang menyumbang dividen yang tinggi akan terus menarik minat peserta pasaran yang lebih konservatif bagi ketahanan portfolio dan lindung nilai terhadap ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat,” katanya.

Philip Capital Management pula mengekalkan unjuran optimisnya ke atas pasaran tempatan, walaupun terdapat isyarat bercampur yang mengukur ekonomi global.

“Kami percaya bahawa FBM KLCI akhirnya dapat mengembalikan sentimen kenaikkannya selepas menilai implikasi mesyuarat Bank Pusat Eropah (ECB),” kata Naib Presiden Kanan (Pelaburan)nya Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan kepada Bernama.

Mengenai analisis teknikalnya, beliau menjangkakan pembetulan kecil selepas FBM KLCI menguji garisan purata pergerakan 200 hari yan masih berlaku dan menetapkan rintangan segera pada 1,658 mata, diikuti rintangan pada sekitar 1,700 mata.

Nazri berkata, pasaran akan memantau rapat keputusan Rizab Persekutuan AS mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah pada mesyuarat Julai.

“Fed AS dijangka bertemu pada 30 dan 31 Julai, dan pelabur sedang menunggu pengumuman sama ada penurunan kadar faedah akan berlaku atau tidak,” katanya.

Bagi minggu depan, antara saham yang perlu diberi perhatian ialah Sunway Construction Group Bhd (pembinaan) dan Hartalega Holdings Bhd (penjagaan kesihatan).

Bagi minggu yang baru berakhir, indeks FBM KLCI turun 10.23 mata kepada 1,647.96 berbanding 1,656 Jumaat lepas.

Dagangan pada minggu ini dipengaruhi oleh prestasi Wall Street, jangkaan penurunan kadar oleh ECB serta mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan.

Indeks FBM Emas merosot 91.80 mata kepada 11,698.42, Indeks FBMT 100 menyusut 96.59 mata kepada 11,519.66 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 104.37 mata kepada 12,060.49.

FBM 70 merosot 225.15 mata kepada 14,687.88, namun Indeks FBM Ace meningkat 89.80 mata kepada 4,764.77.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 277.93 mata kepada 16,317.95, Indeks Perladangan merosot 35.37 mata kepada 6,778.63 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.02 mata kepada 155.79.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 13.96 bilion unit bernilai RM9.90 bilion berbanding 15.49 bilion unit bernilai RM9.46 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 9.25 bilion saham bernilai RM9 bilion berbanding 10.83 bilion saham bernilai RM8.27 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.36 bilion unit bernilai RM486 juta berbanding 1.99 bilion unit bernilai RM391.59 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 2.34 bilion saham bernilai RM411.64 bilion daripada 2.66 bilion saham bernilai RM486.93 juta. – MalaysiaGazette