Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming (dua kanan), Ketua Pegawai Operasi Fingo Malaysia, Lee Chee Siang (kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Fingo, Dong Fang (dua kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Fingo, Messi Wang (kiri) menunjukkan aplikasi Fingo pada Majlis Pelancaran Fingo, iaitu sebuah platform pasaran e-dagang yang pertama Malaysia di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 29 JULAI 2019.
KUALA LUMPUR – Fingo (Malaysia) Sdn.Bhd (Fingo) selaku pelopor e-dagang atas talian mensasarkan 500,000 pengguna atau pembeli aktif  tempatan menjelang akhir tahun 2019.Pengurus Besar merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Fingo Malaysia, Lee Chee Sing berkata, pihaknya optimis dengan sasaran tersebut kerana setakat pada pelancaran rasmi hari ini, lebih 200,000 pengguna aktif Malaysia telah memuat turun dan berdaftar dengan aplikasi Fingo.

“Malah kami juga mensasarkan untuk menjadi tiga peneraju e-dagang teratas di negara ini dan untuk itu kita sudah tetapkan jangka masa tiga tahun untuk mencapai misi tersebut.

“Fingo berbeza berbanding pelopor e-dagang sedia ada di pasaran tempatan dan ASEAN kerana kami menawarkan produk terus dari pengilang dan pengeluar tanpa menerusi orang tengah.

“Setiap pembekal produk Fingo adalah eksklusif dan terpilih dalam kalangan berjenama serta peniaga kecil dan sederhana yang boleh menyumbang dalam mempromosikan produk secara berterusan tanpa halangan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran di ibu negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming hadir menyempurnakan pelancaran Fingo diiringi Chee Sing selain, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Fing Dong Fang dan Ketua Pegawai Operasi Wang Nan.

Tambah Chee Sing, Malaysia dipilih kerana rakyat pelbagai bahasa dan kebanyakan warga tempatan memilih aplikasi e-dagang untuk membeli barang dalam talian termasuk komuniti Cina, yang mana keberkesanan komunikasi mampu memastikan Fingo menembusi pasaran ASEAN dengan pantas.

Katanya, e-dagang Fingo disediakan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina bagi memudahkan warga Malaysia berurusan di atas talian menerusi telefon pintar dan sebagainya.

Ditanya mengenai keunikan atau kelebihan Fingo berbanding pelopor e-dagang sedia ada dalam pasaran Malaysia, Lee Sing menjelaskan bahawa plaform e-dagang Fingo merupakan entiti pertama di Malaysia yang menggabungkan model perniagaan sosial menggunakan konsep “pembekal kepada perniagaan ke pengguna” atau Supplier2Business2Consumer (S2B2C).

“Model perniagaan S2B2C ini menggunakan pilihan data besar untuk berinteraksi dan bersosial dengan ahli-ahli Fingo atas talian setiap masa dan berkongsi kepuasan produk.

“Justeru, permintaan mengenai maklumat. ramalan fesyen serta trend membeli akan digabungkan dengan rantaian bekalan domestik dan antarabangsa bagi mewujudkan platform S2B2C,” katanya.

Yang menarik, tambah Chee Sing, 24 juta orang di negara ini dikatakan pengguna media sosial dan 22 juta daripadanya pengguna tetap media sosial peranti bergerak dan kadar penembusan tinggi ini boleh diterjemahkan sebagai peluang pasaran yang besar untuk transaksi perniagaan berasaskan dalam talian.

Buat permulaan, katanya, Fingo hanya menawarkan produk kosmetik, kelengkapan rumah dan kegunaan peribadi untuk penggunanya dan akan menambah dengan produk lain pada masa akan datang.

Segala pembayaran untuk setiap produk yang dibeli dalam talian menggunakan aplikasi Fingo menerusi sistem pembayaran FPX dan bayaran menggunakan kad kredit dan debit masih dalam proses dan akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Tambahnya, sayap pasaran Fingo akan diperluas ke negara-negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam menjelang awal tahun 2020 manakala Filipina dan Taiwan di fasa ketiga.- MalaysiaGazette