Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joannya Yu ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan juga dikaitkan dengan kes berprofil tinggi, SRC International Sdn Bhd dikatakan seringkali menggunakan istilah makanan seperti sate dan pai bagi merujuk wang dolar Amerika dan ringgit Malaysia.

Itu pendedahan oleh saksi ke-54, Joanna Yu Ging Ping yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank ketika disoal balas tentang perbualan antara dirinya dengan Jho Low dalam kandungan Blackberry Messenger (BBM) oleh peguam, Harvinderjit Singh.

Kata Joanna, Jho Low sememangnya menggunakan istilah makanan terkenal ketika berkomunikasi dengannya dalam urusan transaksi akaun peribadi Ambank bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Soal Harvinder yang ketika membaca pesanan daripada Jho Low yang memberi arahan berhubung transaksi bernilai RM50 juta ke dalam tiga akaun Najib bernombor 880, 898 dan 906.

Jho Low dalam pesanan itu merujuk ’50 sate’ yang membawa maksud RM50 juta setiap satu transaksi manakala ketika merujuk dolar Amerika, lelaki itu menggunakan terma pai ketika pindahan AS$620 bilion pula.

Harvinderjit: Mengapa guna terma seperti ini? Sate dan pai, makanan tempatan dan barat.

Joanna: Itulah terma yang digunakan oleh Jho Low ketika bercakap dalam mesej dalam BBM.

Harvinderjit: Adakah anda faham apabila Jho Low gunakan terma-terma ini?

Joanna: Ya, saya faham.

MGF29072019_NAJIB RAZAK MAHKAMAH_20
Peguam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Harvinderjit Singh ketika hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2019

Terdahulu, Joanna juga ada mendedahkan bagaimana sebelum Jho Low pernah memintanya untuk memadam log mesej antara dirinya dengan ahli perniagaan itu sejurus selepas berbalas mesej.

Bagaimanapun, kata Joanna dia tidak melakukan seperti yang disuruh oleh ahli perniagaan itu.

Dalam pada itu, Joanna juga bersetuju dengan rumusan Harvinder bahawa Jho Low adalah induvidu yang memberi ‘arahan’ manakala Ketua Pegawai SRC International yang kini sudah menghilangkan diri, Nik Faisal Ariff Kamil hanya sekadar ‘mengikut’.

Joanna juga minggu lepas memberitahu Najib telah memberikan mandat kepada Nik Faisal bagi menguruskan akaun peribadinya sebelum ini. – MalaysiaGazette