Gambar hiasan

TIADA apa yang dapat dijangka dengan dunia politik. Ada  kalanya berbaik, ada kalanya bermusuh, ada waktu bekerjasama, dan jika ada yang tidak kena, kerjasama yang erat boleh
terputus secara tiba-tiba. Itulah yang terjadi terhadap parti UMNO dan PAS. Suatu masa dahulu, kedua-dua parti ini pernah bekerjasama. Namun, pada pada 1978, PAS telah membuat keputusan untuk meninggalkan BN dan bergerak sebagai parti pembangkang.

Kini, setelah lebih 40 tahun berlalu, nampaknya kerjasama antara UMNO-PAS bertaut kembali melalui konsep ‘penyatuan ummah’ yang telah digerakkan pasca PRU-14. Setelah tewas pada
PRU-14, nampaknya UMNO telah mula sedar bahawa partinya tidak lagi kuat seperti dahulu.

Maka, penggabungan kekuatan politik perlu disegerakan lebih-lebih lagi BN pada ketika ini hanya diwakili tiga parti komponen sahaja iaitu UMNO, MCA dan MIC. Jika diharapkan kepada kekuatan ketiga-tiga parti komponen dalam BN, ianya belum cukup kuat untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang ketika ini terdiri daripada PKR, PPBM, DAP dan Amanah.

Kekalahan UMNO di Sabah dan keputusan parti-parti komponen di
Sarawak yang memilih untuk meninggalkan BN telah menambah lagi derita kepada BN yang sebelum ini menjadikan kedua-dua negeri tersebut sebagai ‘deposit tetap’ kemenangan setiap
kali pilihan raya.

Pasca PRU-14, UMNO dilihat seolah-olah tidak lagi relevan untuk rakyat Malaysia khususnya orang Melayu. Maka, sebahagian pemimpin utama parti telah mengambil keputusan untuk
meninggalkan parti dan memilih untuk menyertai kerajaan PH. Namun, semenjak akhir-akhir ini, UMNO seakan-akan sudah bangkit daripada kekecawaan dan mula belajar daripada kesilapan.

Orang Melayu juga suatu ketika dahulu menolak UMNO, kini nampaknya telah mula menyokong parti tersebut dan sedikit demi sedikit sudah menjarakkan diri dengan parti-parti pro
kerajaan. Ini susulan daripada beberapa peristiwa yang membabitkan orang Melayu tidak ditangani dan diselesaikan dengan sebaiknya. Mengambil contoh, sehingga ke hari ini, kes
kematian anggota bomba yang terlibat dengan insiden rusuhan kuil, Mohd Adib Mohd Kassim masih tidak mendapat pembelaan yang setimpal.

Beberapa isu berbangkit seperti ICERD, perlantikan lebih ramai bukan Melayu dalam pentadbiran kerajaan, usaha pengecilan sektor perkhidmatan awam, pengurangan bantuan kewangan dan tiada tindakan susulan dikenakan terhadap pihak-pihak yang menghina agama Islam menyebabkan orang Melayu berada dalam keresahan.

Sebahagian orang Melayu melihat agenda penyatuan ummah perlu disegerakan demi memastikan hak-hak keistimewaan bangsa Melayu dan agama Islam sentiasa terbela. Jika
kerajaan PH tidak berusaha bersungguh-sungguh membela nasib kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti di Malaysia, dan agenda penyatuan ummah gabungan BN-PAS menjadi kenyataan, tidak mustahil jika gabungan BN-PAS mampu menawan Putrajaya.

Bukan sahaja mampu menawan Putrajaya, namun gabungan BN-PAS mampu mendirikan kerajaan negeri di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Jika kerjasama BN-PAS menjadi kenyataan, gabungan tersebut mampu menawan sekurang-kurangnya 100 buah kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.

Untuk mendapat sokongan yang lebih mantap, usaha pemulihan UMNO di Sabah perlu disegerakan dan BN-PAS perlu bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melebarkan kemenangan di Sabah serta Sarawak. Perlu diingat, GPS merupakan parti yang paling banyak kerusi di Sarawak dan kebanyakan penduduk Pribumi di Sarawak lebih percaya kepada parti tempatan berbanding parti-parti politik dari semenanjung.

Sama ada PH perlu menghalang kemaraan parti-parti pembangkang, ataupun BN menyegerakan penggabungan dengan PAS, itu terserah kepada strategi politik parti-parti yang
bertanding kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberi kebebasan kepada mana-mana pihak untuk bertanding asalkan memberi keuntungan kepada rakyat. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Syahmie Minhat, pembaca MalaysiaGazette