Cellulose Fibre Reinforced Cement Flat And Pattern Sheet

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyiasat menyiasat dakwaan lambakan ke atas pengimportan Cellulose Fibre Reinforced Cement Flat And Pattern Sheet atau Fibre Cement Board (FCB) selepas menerima petisyen daripada UAC Berhad.

Pempetisyen mendakwa FCB yang berasal atau dieksport dari Indonesia telah dilambakkan ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada harga jualan di pasaran domestik negara tersebut.

Malah, pempetisyen mendakwa lambakan import dari negara tersebut telah meningkat dari segi kuantiti mutlak dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia yang mengeluarkan produk serupa.

“Kerajaan telah mempertimbangkan bukti prima facie lambakan, kemudaratan serta hubungkait di antara kedua-duanya dan memutuskan untuk memulakan suatu penyiasatan anti-lambakan ke atas import FCB dari negara berkenaan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan yang berkaitan, satu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh permulaan siasatan.

Sekiranya penentuan awal didapati afirmatif, maka kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara mengikut kadar yang ditetapkan untuk menghalang kemudaratan yang berterusan ke atas industri tempatan.

Sehubungan ini, MITI akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar
asing, pengeksport dan persatuan-persatuan).

Pihak-pihak lain yang berkepentingan juga boleh mendapatkan borang soal selidik tersebut selewat-lewatnya pada 12 Ogos 2019, selain itu boleh memberi pandangan dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini secara bertulis kepada MITI sebelum pada atau sebelum 26 Ogos 2019.

Sekiranya tiada respon atau maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, pihak kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta-fakta yang sedia ada.

Maklumat lanjut mengenai penyiasatan ini boleh didapati dengan menghubungi Pengarah Seksyen Amalan Perdagangan
MITI. – MalaysiaGazette