KUALA LUMPUR – Nampaknya isu peruntukan dana untuk masyarakat India sebanyak RM100 juta di bawah Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) yang diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moothy semakin panas.
Apatah lagi dana sebanyak RM31,500,066 yang telah dikeluarkan dalam dua fasa berbeza dipercayai tidak sampai secara telus kepada yang benar-benar memerlukan selain daripada pelbagai dakwaan berhubung pemberian tersebut.
Malah, antara yang lantang membuat ‘bising’ rata-ratanya adalah pimpinan dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) sendiri termasuk Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy.
Terbaharu, sumber MalaysiaGazette memberitahu, antara penerima dana itu adalah sebuah syarikat yang baru ditubuhkan dan telah menerima peruntukan sebanyak RM700,000.
Pemberian itu kata sumber, sangat mengejutkan apatah semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati syarikat itu ditubuhkan pada 14 Januari lepas.
Timbul persoalan adakah syarikat itu yang tidak sampai setahun jagung telah mematuhi syarat wajib bagi peruntukan berkenaan apatah lagi berjaya mendapat nilai lebih setengah juta.
Difahamkan, syarikat itu yang telah mengemukakan permohonan bagi latihan sijil profesional keselamatan siber kepada 100 graduan India untuk 10 minggu dengan purata perbelanjaan untuk seorang pelajar sebanyak RM7,000.
Selain daripada itu, ada juga dakwaan suami kepada salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pahang juga telah menerima dana MITRA lebih RM100,000.
Walaupun tidak salah untuk memberikan dana itu seandainya suami ADUN itu benar-benar layak menerimanya tetapi sebelum ini mereka semasa menjadi pembangkang akan mengkritik senario sedemikian sekiranya diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional.
Bagaimanapun, kini ia dilakukan dengan terbuka dan masih mempertahankannya dan menganggap ia semuanya telah dilakukan dengan penuh telus.
Ketika ini, sudah tular beberapa kenyataan dalam laman-laman sosial berhubung pemberian dana yang sama dan rata-rata menyoal apakah sebenarnya justifikasi kepada setiap penerima manakala yang benar-benar layak seolah-olah terpinggir.
Ahli Dewan Negara, Datuk T. Mohan (gambar atas) berkata, Waytha seolah-olah mahu mengalihkan pandangan dalam isu itu dengan cuba melakukan serangan terhadap Ramasamy.
Jelas Mohan yang juga Naib Presiden MIC, masyarakat India sebenarnya lebih daripada ‘terdesak’ untuk mengetahui bagaimana dana sebanyak RM100 juta digunakan.
“Dakwaan Ramasamy amat serius, kita benar-benar mahu tahu telus atau tidak pemberian-pemberian dana ini. Jangan cakap anda telah siarkan semua maklumat dalam laman web, maka anda telus.
“Itu adalah jawapan budak-budak. Ada banyak tuduhan serta dakwaan tentang dana MITRA yang tidak mencapai sasaran serta objektif, seharusnya Waytha tampil berikan jawapan serta penjelasan konkrit.
“Janggal sangat jawapan Waytha yang meminta Ramasamy untuk membuat panggilan peribadi kepadanya sedangkan isu ini melibatkan penjelasan secara terbuka kepada komuniti India. Apa sebenarnya yang cuba di sampaikan oleh Waytha?
“Kita dengar juga tentang campur tangan politik dalam pengurusan MITRA selama ini, adakah dakwaan-dakwaan itu benar?
“Apa cerita di sebalik pemberhentian kakitangan tertinggi MITRA di Jabatan Perdana Menteri? Semua ini sangat mengejutkan dan perlukan penjelasan secara telus.
“Saya tidak berhasrat cakap banyak, yang perlu bercakap adalah Waytha. Tolong jelaskan kepada masyarakat India kerana anda juga begitu lantang berkokok tentang kebajikan mereka selama ini,” tegasnya.
Mitra yang sebelum ini dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India di bawah Jabatan Perdana Menteri mempunyai peranan amat penting dalam memastikan pembangunan sosioekonomi masyarakat India dalam sektor ekonomi, pendidikan dan sosial diberi perhatian. –MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/27/waytha-ramasamy-bertelagah-soal-peruntukan-rm100-juta/