Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berucap pada Sambutan 20 Tahun Keadilan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pekan Rantau, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 04 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dinasihat melepaskan jawatannya secara sukarela jika tidak lagi meletakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai keutamaannya.

Angkatan Muda Keadilan (AML) Cabang Tanjong Malim, Muhamad Alif Asyraf yang membuat gesaan itu berkata, AMK Perak melihat Azmin tidak berjaya untuk memikul amanah beliau sebagai timbalan presiden parti itu dengan baik.

Menurutnya, ketidakhadiran beliau ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu sejak November lalu seperti yang didedahkan Setiausaha Agung PKR merupakan satu pelanggaran disiplin yang tidak seharusnya berlaku.

“Ini menunjukkan Datuk Seri Azmin Ali tidak lagi meletakkan Organisasi Keadilan sebagai prioriti yang perlu beliau utamakan.

“Sikap acuh tak acuh terhadap mesyuarat ini juga merupakan sesuatu yang tidak boleh dikompromi kerana memberikan teladan yang amat tidak baik kepada anggota parti.

“Sebagai salah sebuah komponen penting parti kerajaan, seharusnya mesyuarat ini perlu diberi keutamaan sebagai medan untuk membincangkan perkara-perkara penting yang melibatkan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahan pula, dalam keadaan sekarang parti lebih memerlukan ramai pemimpin yang mampu membawa parti pasca PRU-14 terutama pimpinan kanan.

Tetapi jika Azmin tidak mampu memberi komitmen baik kepada parti, adalah lebih baik beliau meletakkan jawatan secara sukarela supaya tugas beliau boleh diberi kepada salah seorang naib presiden.

“Ini adalah penting untuk ‘survival’ parti bagi menghadapi PRU-15 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak. Jika timbalan presiden sendiri gagal memberi komitmen, bagaimana organisasi untuk bergerak dengan lancar,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK.

Jelas beliau, peletakan jawatan oleh Azmin di peringkat kerajaan juga akan menjadi satu ‘role model’ yang baik jika gagal memberi komitmen kepada parti.

“Justeru, Angkatan Muda Keadilan Cabang Tanjong Malim mengulangi nasihat supaya Datuk Seri Azmin untuk meletakkan jawatan beliau demi kepentingan parti.

“Ini adalah parti kesayangan kita. Ini adalah parti masa depan. Parti ini memerlukan lebih komitmen dan pengorbanan dari setiap pemimpin dan anggota parti untuk pergi lebih jauh,” kata Muhamad Alif. – MalaysiaGazette