KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) melahirkan rasa kesal apabila penganjur sidang media di pekarangan Masjid Negara, Jumaat lalu cuba dikenakan tindakan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar menegaskan, tindakan itu tidak wajar kerana pihaknya tidak melakukan sebarang perhimpunan sebaliknya ia sekadar sidang media berhubung Jelajah Tuntut Kebenaran.

“Ahad lalu, saya telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan berhubung sidang media Jelajah Tuntut Kebenaran di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 26 Julai lalu.

“Sebagai pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia, saya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung sidang media berkenaan.

“Bagaimanapun saya mempersoalkan tindakan pihak polis itu sedangkan NGO kami tidak melakukan sebarang perhimpunan aman dan hanya melakukan sidang media,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Tuntut mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas segera melakukan pendakwaan terhadap tiga kes utama negara.

Antara tiga kes utama yang didakwa wujudnya campur tangan dan pengaruh politik ialah kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Manakala dua lagi adalah kes rogol seorang pembantu rumah warga Indonesia oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak serta video semburit mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menyifatkan tindakan polis itu sebagai salah satu kejayaan pihaknya kerana desakan terhadap tiga kes utama itu mendapat perhatian pihak berkuasa.

“Susulan insiden itu, Gerakan Tuntut Malaysia melihat desakan kami tidak mustahil menjadi satu kebimbangan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Dalam pada itu, A’zlan turut mendesak Peguam Negara agar segera membuat pendakwaan terhadap tiga kes berkenaan.

Dakwanya, pelbagai perkara buruk boleh berlaku sekiranya Peguam Negara masih berdiam diri dan tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan kes yang menjadi keresahan rakyat.

“Campur tangan pihak tertentu dalam kes Adib boleh mencetuskan konflik perkauman di negara ini.

“Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia pula boleh terjejas jika kes rogol membabitkan Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo King dilengah-lengahkan.

“Manakala kes salah laku moral melibatkan seorang menteri Kabinet boleh menjejaskan imej Kerajaan Malaysia di mana Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya Peguam Negara gagal mengambil perhatian serius terhadap desakan itu, beliau tidak teragak-agak untuk menganjurkan Himpunan Tuntut Kebenaran secara besar-besaran di ibu negara.

“Ketidakpedulian Peguam Negara boleh mengundang kepada kemarahan dan kebangkitan rakyat untuk turun di jalanan secara besar-besaran.

“Malah kami tidak menolak kemungkinan himpunan kali ini mungkin lebih besar daripada Himpunan Bantah ICERD yang dianjurkan pada tahun lepas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette