Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Laman sesawang, the Centre, yang merupakan  badan penyelidikan tidak berpihak atau non-partisan memulakan operasinya 29 Julai lalu.

The Centre mengalu-alukan rakyat mengikuti penulisan serta penyelidikannya tentang dasar kerajaan dan isu-isu semasa yang berpandukan lensa haluan tengah.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan merupakan Pengasas Bersama manakala Dr. Idlan Rabihah Zakaria adalah Ketua Pegawai Operasi laman The Centre yang berpusat di Publika, Solaris Dutamas.

“The Centre adalah badan penyelidikan tidak berpihak (non-partisan) yang mengetengahkan idea haluan tengah atau sentrisme (centrism) dalam usaha untuk melangkaui polarisasi pendapat hari ini dan menawarkan penyelesaian yang pragmatik dan munasabah.

“Dalam isu berkaitan ekonomi, sentrisme menitikberatkan keseimbangan antara pasaran bebas dan intervensi kerajaan untuk menjawab cabaran seperti peluang pekerjaan, pendapatan wajar, perumahan mampu milik dan lain-lain,” kata badan itu dalam kenyataan media baru baru ini.

Menurut The Centre, dalam konteks sosial, sentrisme berusaha mencari titik temu antara kebebasan individu dengan realiti memelihara keharmonian negara yang berbilang masyarakat.

Sebagai badan penyelidikan tidak berpihak dan berhaluan tengah, The Centre mengutamakan kerjasama dan perkongsian dengan kumpulan akademik, NGO, parti-parti politik dan pemegang taruh yang lain.

“Kami kini giat membangunkan projek-projek kerjasama dalam topik penyelidikan tertentu dan mengalu-alukan pertanyaan dari pihak yang berminat untuk usaha sedemikian.

The Centre boleh diikuti menerusi https://www.centre.my dan laman sosial di Instagram – centremy_, FB -@TheCentreMY dan Twitter – @CentreMY_ serta email ke [email protected] dan [email protected]

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Pengurus Operasi, Encik Ibdilillah Ishak di 0192761919. – Malaysiagazette