Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain culpable homicide murder assault abetting abetment guilty NDUM National Defence University of Malaysia
Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan 18 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

“Selepas menilai secara maksima semua keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan yang disabitkan,” katanya.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Keenam-enam mereka bersama 12 lagi tertuduh juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Dua belas tertuduh itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, 21 Mei 2017.

Bagaimanapun mahkamah melepas dan membebaskan seorang tertuduh iaitu Muhamad Akmal Akif Alias atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Kesemua tertuduh kini berumur 23 tahun.

Mahkamah menetapkan 2 dan 3 Okt , 4 hingga 7 Nov, 18 hingga 20 Nov serta 3 dan 4 Dis 2019 untuk 18 tertuduh itu membela diri atas pertuduhan masing-masing.

Hakim Azman turut menjelaskan kesemua tertuduh mempunyai pilihan untuk membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi, atau keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh atau memilih berdiam diri.

“Apa pun perlu diingatkan keterangan secara bersumpah adalah tinggi nilainya daripada keterangan tidak bersumpah,” kata Hakim Azman.

Seramai 29 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 29 Jan 2018, termasuk dua saksi mata iaitu pelajar UPNM, Ahmad Senabil Mohd dan Mohd Syafiq Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim dan N. Joy Jothi mengendalikan pendakwaan manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dhillon, A.G. Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Datuk Seri M. Ramachelvam, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Zamri Idrus.

Sementara itu, bapa Allahyarham Zulfarhan, Zulkarnain Idros, 55, membuat sujud syukur sebaik sahaja keluar dari mahkamah selepas keputusan kes itu manakala ibunya, Hawa Osman, 56, berkata beliau sentiasa terkenangkan anaknya walaupun telah dua tahun pemergiannya.

Muhammad Akmal Akif, yang dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan mangsa itu juga melahirkan rasa syukurnya dan berjanji akan meneruskan pengajian yang tertangguh sebelum ini.

“Alhamdulillah bertahun saya tunggu benda ini (keputusan). Saya nak meneruskan pengajian yang telah tertangguh selama dua tahun ini,” katanya kepada media sambil menangis teresak-esak.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap. – MalaysiaGazette