Siddhartha disyaki membunuh diri selepas hilang sejak Ahad lalu walaupun belum disahkan polis setakat ini punca kematiannya selepas mayat ditemui pagi hari ini.

NEW DELHI – Polis menemui mayat VG Siddhartha selepas pengasas dan pemilik rangkaian Cafe Coffe Day itu hilang Isnin lalu.

Jasad Siddhartha ditemui nelayan kira kira 5 kilometer dari jambatan Sungai Nethravathi di pinggir bandar Mangalore.

Kata polis, identiti mangsa disahkan oleh ahli keluarga Siddhartha selepas dikejarkan ke Hospital Wenlock untuk dibedah siasat dan menunggu laporan autopsi untuk mengesahkan punca kematiannya.

Mayat Siddhartha dijangka dibawa ke kampung halamannya di Cheekanahalli berhampiran pekan Chikkamangaluru yang mana ibu bapanya masih tinggal di situ untuk upacara pengurusan terakhir mayatnya.

Syarikat Siddhartha Coffe Day Enterprises Limited telah mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin lalu untuk membincangkan mengenai insiden ketidakhadirannya.

Dalam kenyataannya, lembaga pengarah syarikat itu menagih sokongan padu kesemua pemegang amanah.

Dalam kenyataan kepada pasaran Saham India, syarikat itu menegaskan bahawa premis itu telah diuruskan secara profesional oleh pasukan peniagaan yang bijaksana dan akan memastikan kelangsungan perniagaan selepas ini.

Dalam sepucuk surat Siddhartha kepada syarikatnya berkata dia sedang berdepan masalah hutang yang besar dan gagal mewujudkan sebuah model perniagaan menguntungkan walaupun mencurahkan segala usaha dan tenaga.

Surat itu ditandatangani mendiang dan telah diedarkan kepada pasaran saham sebagai rujukan.

Polis juga mengesahkan kesahihan surat itu sejurus selepas mayatnya diperolehi.

“Saya satu-satunya individu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesilapan yang berlaku.

“Setiap transaksi kewangan adalah tanggungjawab saya dan saya tidak berniat untuk menipu sesiapa, malangnya saya gagal sebagai seorang usahawan,’ kata mangsa dalam surat itu sebelum menghilangkan diri dua hari lepas.

Bagaimanapun dalam surat itu mendiang menuduh bekas Ketua Pengarah Jabatan percukaian mengugut beliau untuk membangkitkan isu berkenaan ke Parlimen pada Rabu ini.

Bagaimanapun Lembaga Percukaian India menafikan dakwaan mendiang sambil mempersoalkan kesahihan surat yang didakwa ditulis oleh mangsa sebelum meninggal dunia.

Pihak Percukaian mendakwa tandatangan dalam surat itu tidak sepadan dengan tandatangan Siddhartha dalam laporan penyata kewangan tahunan syarikat itu.

Pada Ahad lalu Siddhartha dilaporkan meneruskan perjalanan ke Mangalore. Sebelum kehilangannya, Siddhartha berada di dalam kereta di pinggir Mangalore dan meminta pemandunya menghentikan kereta di sebuah kawasan berhampiran dengan Sungai Netravati.

“Dia meminta pemandunya memakirkan kereta di tempat lain dan memberitahu akan berjalan kembali ke kereta,” kata seorang pegawai polis.

Bagaimanapun, Siddhartha tidak kembali semula, malah panggilan telefon juga tidak dijawab sebelum dua pasukan polis dihantar untuk melakukan pencarian di sungai tersebut.

Cafe Coffee Day adalah rangkaian kedai kopi terbesar di India dengan 1,750 cawangan di seluruh negara, selain cawangannya di Malaysia, Nepal dan Mesir.

Malah akhbar ekonomi, Times India melaporkan Siddhartha dalam proses rundingan bersama Coca Cola untuk menjual syarikatnya pada harga AS$1.45 bilion (1.19 bilion pound) walaupun ia tidak disahkan secara rasmi oleh kedua-dua pihak terlibat.

Siddhartha juga dalam suratnya mengakui rangkaian cafe itu tenat akibat masalah kewangan ekoran hutang, cukai dan saham.

Saham syarikat itu jatuh 20 peratus sejak Siddhartha dilaporkan hilang. – MalaysiaGazette