Najib Razak

KUALA LUMPUR – Penangguhan cadangan pengambilalihan empat lebuh raya akan menjadi tamparan hebat kepada Lim Guan Eng dan Tony Pua.

Datuk Seri Najib Razak berkata, ini kerana menteri kewangan dan Pua telah penat lelah mempertahankan projek tersebut dengan memberi bermacam-macam alasan setiap hari.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau sudah pun memberi amaran tentang cadangan pengambilalihan itu yang mana turut menjadi kebimbangan Kerajaan Pakatan Harapan kerana harga tawaran adalah terlalu tinggi.

Hasil daripada caj kesesakan lebuh raya itu pula tidak mampu untuk membayar balik hutang RM6.2 bilion bagi menampung kos pembelian.

“Hari itu saya telah memberi amaran ini dan sifatkanya sebagai langkah kerajaan PH untuk tol-forever walaupun yang dijanji ialah tol-free.

“Saya juga menyifatkan langkah PH ini sebagai durian runtuh untuk penjual dan memberi bukti harga saham mereka telah melonjak naik selepas pembelian ini diumumkan.

“Tapi Guan Eng dan Tony Pua penat lelah untuk mempertahankan projek mereka,” katanya yang merujuk kepada laporan Straits Times Singapura berhubung penangguhan cadangan pengambilalihan empat syarikat konsesi lebuh raya.

Empat lebuh raya yang terbabit ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART (SMART).

Najib berkata: “Saya ingat hanya projek kerajaan BN (Barisan Nasional) dahulu perlu dikaji semula. Rupa-rupanya projek PH baru pun perlu dikaji semula”.

Katanya, surat tawaran sudah disampaikan secara rasmi oleh kerajaan kepada penjual lebuh raya itu dan lembaga pengarah syarikat penjual yang sudah bermesyuarat untuk menerima tawaran dan diumumkan kepada Bursa Malaysia.

Tawaran oleh Kementerian Kewangan itu turut menyebabkan harga saham syarikat-syarikat berkenaan naik ketika ini.

“Tiba-tiba rancangan ini ditangguhkan pulak untuk kaji semula. Kini, harga saham akan jatuh semula.

“Mereka yang telah membeli saham syarikat penjual itu pada harga tinggi dengan harapan akan mendapat durian runtuh tentu akan “berterima kasih” besar kepada Guan Eng.

“Sekejap tawar untuk membeli. Sekejap U-turn dan kata nak kaji semula. Pelabur-pelabur asing pun pening kepala,” tambah Najib.

Lantaran itu, katanya, negara tidak boleh menyalahkan pelabur jika mereka tidak ada keyakinan kepada kerajaan Pakatan Harapan dan pasaran saham tempatan.

“Inilah bahayanya bila kita ada menteri-menteri akauntan tak bertauliah yang salah titik perpuluhan. Matematik mereka untuk pembelian yang bernilai berbilion-bilion ringgit pun ke laut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Cadangan pengambilalihan empat konsesi tol kena semak semula

Tang