Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah

KUALA LUMPUR – Harga tawaran bagi pengambilalihan empat syarikat konsesi tol di Lembah Klang belum dimuktamadkan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan akan menjalankan proses kewajaran untuk mengenal pasti nilai muktamad empat lebuh raya berkenaan.

Tol-tol yang ditawarkan untuk pengambilalihan oleh Kementerian Kewangan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Menurutnya, jika proses berkenaan mendapati nilai tersebut terlalu rendah atau tinggi. kita akan lakukan sesuatu.

“Ia kerana, nilai ditawarkan belum muktamad dan kita berharap ia akan memberi impak positif dan tidak membebankan kewangan kerajaan,” katanya di Islamic Finance Innofest 2019 hari ini.

Amiruddin berkata, apa yang lebih penting bagi kerajaan adalah memenuhi manifesto Pakatan Harapan dan menghapuskan tol.

Cadangan pengambilalihan itu telah dikemukakan kepada Gamuda Berhad yang menguasai syarikat-syarikat konsesi itu.

Semalam, media Singapura melaporkan cadangan pengambilalihan syarikat-syarikat tol itu digantung kerana harga yang ditawarkan terlalu tinggi.

Bagaimanapun, perdana menteri hari ini menafikan cadangan untuk membeli empat konsesi lebuh raya itu telah ditangguhkan bagi pemeriksaan semula tawaran.

Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, pembelian itu boleh dilaksanakan Kementerian Kewangan namun kerajaan sedang mempertimbangkan tarikh yang sesuai untuk direalisasikan.

Jelas beliau, Kabinet telah diyakinkan oleh Kementerian Kewangan bahawa pelan pengambilalihan ke atas semua tol itu boleh dilaksanakan. – MalaysiaGazette

 

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/01/pengambilalihan-tol-kerajaan-mahu-lihat-kutipan-waktu-puncak-cukup-atau-tidak/