Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa anjuran Talent Corp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sokongan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar beliau perlu diberi peluang memimpin kerajaan hingga ke akhir penggal adalah pendapat peribadi pemimpin itu.

Namun Perdana Menteri menegaskan beliau sudah berjanji meletak jawatan bergantung kepada tempoh waktu dan senario yang sesuai kelak.

“Itu dia punya pendapat tapi saya sudah berjanji untuk letak jawatan apabila saya dapati situasi negara dalam keadaan yang sesuai.

“Mungkin dua atau tiga tahun. Saya tidak tahu. Tapi kita sedang bergerak ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa anjuran Talent Corp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sokongan Mohamed Azmin yang beliau perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Timbalan PKR itu berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan UMNO menyokong Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

“Pendirian itu seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera,” kata Azmin.

Mohamed Azmin menambah, dukungan bipartisan terhadap Dr Mahathir merupakan lembaran baharu dalam politik Malaysia di mana kepentingan rakyat diberikan keutamaan.

Mengulas lanjut, Mahathir ditanya sama ada  akan menghabiskan tugasnya hingga habis penggal, beliau secara berseloroh berkata ia kecuali dipaksa dan diletakkan senjata di kepalanya.

Ditanya tentang sama ada konflik dalam PKR perlu diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, Mahathir berkata, itu masalah dalaman parti itu. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/29/pendirian-pas-umno-seiring-pandangan-saya-azmin/