Zinedine Zidane
Zinedine Zidane

MUNICH – Kemenangan 5-3 Real Madrid ke atas Fenerbahce pada perlawanan pramusim awal pagi tadi mampu mengurangkan tekanan kepada pasukan gergasi Sepanyol itu dan pengendalinya Zinedine Zidane.

Begitupun pertahanan Madrid dilihat terlalu lemah apabila mereka  melepaskan 16 gol dalam hanya lima perlawanan persahabatan setakat ini.

Mereka berdepan lawan dari Turki itu yang menewaskan Tottenham 1-0 kelmarin dalam perlawanan pertama dari empat saingan yang juga menampilkan juara Jerman, Bayern Munich.

Dalam aksi persahabatan minggu lalu, Madrid diaibkan dengan kekalahan 7-3 kepada pencabar dari bandaraya sama, Atletico Madrid dalam saingan di Amerika Syarikat.

Persiapan skuad kendalian Zidane bagi mengharungi musim baharu juga dibayangi masalah melanda Gareth Bale di kelab itu.

Bintang Wales itu tidak dibawa untuk saingan kelab dalam dua perlawanan di Munich selepas perancangan untuk berpindah ke pasukan China, Jiangsu Suning yang menawarkan perjanjian tiga tahun dengan nilai 1 juta pound (RM5.01 juta) seminggu, tetapi gagal.

Penyerang Perancis, Karim Benzema berkata, kekalahan memalukan di tangan Atletico sudah berlalu dan tarikh penting adalah 17 Ogos apabila musim La Liga bermula. – MalaysiaGazette