Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ahmad Hamid Bador menerima buku dari Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Yong Lei Choo (dua kiri) sebagai simbolik Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat PDRM sambil diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (tiga kiri), Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar (kanan) dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, Datuk Nerita Yaacob (kiri) di Maktab PDRM, Cheras, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, kematian seorang tahanan di Penjara Sungai Petani baru-baru ini tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata, jika laporan mendapati wujud perlakukan jenayah dalam kes tersebut Ketua Polis Kedah sudah pasti akan memaklumkannya lebih awal.

“Sekiranya ada apa-apa saya bersedia berkongsi dengan media secara telus tentang kes tersebut.

“Saya tidak akan mengambil pendekatan menyembunyikan fakta,” katanya kepada media selepas Majlis Dekad Membaca Kebnagsaan peringkat PDRM di Maktab Polis Cheras di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan kerjasama pihak-pihak yang dapat membantu pasukan keselamatan untuk membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di negara ini.

Katanya, beliau berpegang kepada kenyataannya sebelum ini bahawa ancaman dadah di Malaysia berada pada tahap yang serius.

Menurut beliau, dalam usaha menyekat kemasukan dadah yang berleluasa, golongan penyelidik dan akademik digesa supaya tampil menjalankan tinjauan agar masalah tersebut dapat di atasi bersama.

“Apa yang dikomen oleh netizen bahawa masalah dadah di negara ini berada dalam keadaan kritikal. Itulah yang saya maksudkan.

“Saya mengalu-alukan kalau ada mana-mana pihak yang ingin menjalankan survey study tentang permasalahan dadah di dalam negara ini sebagaimana saya berpegang kepada kenyataan saya bahawa ancaman dadah di negara ini amat serius.

“Saya alu-alukan sekiranya ada pihak ingin membuat kajian akademik yang terperinci tentang permasalahan dadah ini,” katanya. – MalaysiaGazette