Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menandatangani lukisan yang akan dijual bagi mengisi dana Tabung Jasamu Dikenang pada Majlis Perasmian Reunion Ex-KBTC di Hotel Everly, Putrajaya. foto Fareez Fadzil, 01 Ogos 2019

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perubahan kerusi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah urusan Istana Negara.

Malah Perdana Menteri itu turut menjelaskan bahawa kedudukan Najib sememangnya di tempat di mana beliau sepatutnya duduk.

“Itulah tempat dia pun. Itu Istana Negara punya kerja,” katanya ringkas menjawab soalan wartawan mengenai perubahan saat akhir tempat duduk bekas perdana menteri itu pada istiadat pertabalan Selasa lalu.

Ditanya lebih lanjut mengenai ketidakhadiran Najib, Dr Mahathir berkata, beliau tidak maklum akan perkara itu.

“Tak tahu. Saya tidak nampak apa pun,” katanya lagi selepas menghadiri Majlis Makan Malam Kelab Guru-guru Kota Bharu, sebentar tadi.

Najib pada Selasa menjelaskan spekulasi mengenai ketidakhadiran beliau pada majlis istiadat pertabalan Agong di Istana Negara bukan disebabkan kekeliruan, sebaliknya, beliau menerima panggilan pada jam 6.30 pagi bahawa tempat duduknya telah ditukar.

Jelasnya Ahli Parlimen Pekan itu lagi, beliau tidak sempat untuk mengambil pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang yang berada di Pekan, Pahang selepas menerima panggilan itu.

Najib sepatutnya duduk di tempat ke-10 sebagai bekas Perdana Menteri mengikut protokol istiadat.

Belau mendakwa kerusinya ditukar pada saat terakhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Najib akui tempat duduknya ditukar