Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini mempersoalkan beberapa pemimpin dan menteri Pakatan Harapan (PH) tentang kedudukan mereka dalam Kabinet selepas perdana menteri memutuskan untuk membenarkan Lynas beroperasi di Malaysia.

Lynas juga tidak perlu menghantar balik sisa-sisa bahan radioaktif ke luar dengan syarat membina sebuah kemudahan pembuangan kekal dengan membayar deposit RM205 juta kepada kerajaan kerajaan.

Presiden MCA itu bertanya adakah penentang Lynas seperti Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack; Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan pemimpin-pemimpin DAP akan melepaskan jawatan masing-masing kerana kerajaan sekarang telah menipu dan mengelirukan undi rakyat undi dan mengkhianati manifesto Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana, katanya, beberapa minggu lalu Wong Tack telah membuat kenyataan bahawa sesiapa yang membenarkan Lynas terus beroperasi dan membuang sisa bahan radioaktif di Malaysia secara tetap adalah pengkhianat.

Malah, beliau juga menggesa PH untuk mematuhi Janji 39 manifesto Pilihan Raya Ke-14 untuk melindungi kebajikan rakyat dan mengekalkan kelestarian alam sekitar daripada dibuli oleh syarikat besar dan kroni kapitalis mereka

Bee Yin dan timbalan menteri juga telah berulang kali mengeluarkan kenyataan bahawa Lynas mesti membawa keluar sisa bahan radioaktif keluar dari Malaysia.

“Atau mereka akan terus bersama dan dilabelkan pengkhianat kepada negara seperti yang dicadangkan oleh Wong Tack semalam,” sindir Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam.

Tegas Ka Siong, kerajaan Barisan Nasional tidak pernah membenarkan Lynas untuk menyimpan sisa bahan radioaktif di dalam negara ini.

Sebaliknya syarikat nadir bumi itu hanya dibenarkan menyimpannya di sini untuk sementara waktu sehingga Lynas melaksanakan rancangan untuk memproses sisa itu dalam bahan binaan yang tidak berbahaya seperti papan gipsum atau batu bata. – MalaysiaGazette