Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai, Bryan Lai Wai Chong.

PETALING JAYA – Sudah timbul suara berbeza dalam kalangan pemimpin DAP berhubung isu pengajaran seni khat (tulisan Jawi) melalui mata pelajaran Bahasa Melayu.

Susulan sekumpulan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mengeluarkan kenyataan bersama membantah rancangan Kementerian Pendidikan itu, seorang ADUN dari parti yang sama pula menghujahkan pendapat berlainan.

ADUN Teratai dari Selangor, Lai Wai Chong mengibaratkan mereka yang membantah pelajaran tulisan Jawi sebagai tidak lain seperti golongan ekstrem yang membantah struktur berbentuk salib pada bangunan.

“Ada orang yang mempersendakan golongan ekstrem yang bising selepas melihat tambahan beberapa salib, kononnya takut mempengaruhi orang Islam menjadi murtad.

“Tetapi sekarang ada orang takut kemunculan enam muka surat pelajaran tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu akan menyebabkan orang Islam menakluk sekolah Cina. Jadi apakah perbezaan antara dua golongan ini?” kata ADUN itu.

Wai Chong dilaporkan berkata demikian dalam satu hantaran media sosial ketika membalas kenyataan netizen.

Ketika dihubungi Sinchew Daily, wakil rakyat itu berkata, ramai orang memilih untuk berfikiran sempit dan enggan mendalami isu pembelajaran tulisan Jawi.

“Mengikut cadangan Kementerian Pendidikan, hanya enam muka surat sahaja yang ditambah, bukannya satu buku teks baharu diperkenalkan.

“Selain itu, seni khat juga tidak akan dimasukkan dalam peperiksaan,” katanya menegaskan bahawa enam muka surat itu hanyalah pengenalan ringkas kepada tulisan Jawi.

Menurut Wai Chong, beliau juga menyokong supaya mata pelajaran Bahasa Cina diperkayakan dengan pengenalan kepada “aksara tulang ramalan” yang merupakan tulisan paling awal Tamadun Cina.

Berkenaan isu tanda jalan dalam tulisan Jawi, Wai Chong menjelaskan, walaupun pernah dibincangkan kesesuaiannya, tetapi hakikatnya Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan bahawa tulisan Jawi ialah Bahasa Melayu jadi tanda jalan tulisan Jawi tidak menimbulkan masalah.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, adalah perkara biasa jika timbul suara berbeza dalam parti mengenai satu-satu isu.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sesuatu isu itu harus dilihat secara menyeluruh dan diperdebatkan mengikut realiti dan latar belakang isu.

“DAP selama ini melihat keadaan menyeluruh, bukan hanya melihat orang Cina atau orang Melayu,” katanya dipetik China Press.

Sekumpulan 13 ADUN DAP dan 15 orang pemimpin parti pelbagai peringkat khususnya dari Pemuda Sosialis DAP membantah Kementerian Pendidikan memasukkan pembelajaran seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat hingga Tahun Enam.

Kumpulan itu yang digerakkan oleh ADUN Tras di Pahang, Chow Yu Hui antaranya berpendapat pembelajaran Jawi akan menjejaskan polisi “tiga bahasa tiga tulisan” (bahasa ibunda, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) di sekolah vernakular dengan mewujudkan keadaan “tiga bahasa empat tulisan.” – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Polemik tulisan Jawi menular

Kekal tulisan Jawi, hapus sekolah vernakular – Putra