hajj quota pilgrims Saudi Arabia Malaysia
Gambar hiasan

SEPANG – Jemaah haji Malaysia merupakan antara yang paling beruntung berbanding jemaah- jemaah haji negara lain, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Perdana Menteri, ini kerana dengan adanya Tabung Haji, layanan dan urusan haji lebih teratur kerana semuanya telah diuruskan dari awal hingga akhir oleh agensi itu.

Beliau turut mengucap tahniah atas pencapaian Tabung Haji yang sentiasa berusaha untuk memastikan urusan haji berjalan dengan baik.

“Saya percaya ia bukanlah satu tugas yang mudah kerana melibatkan satu urusan yang memerlukan penelitian kepada semua peringkat persediaan merangkumi keperluan jemaah haji sebelum berlepas, kebajikan mereka semasa di Tanah Suci sehinggalah mereka kembali semula ke Tanah Air.

“Atas usaha yang telah diberikan oleh Tabung Haji, Malaysia berasa bangga menerima pujian dan pengiktirafan dari Kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam lain,” katanya.

MGF04082019_PM JEMAAH HAJI 12
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan sebahagian jemaah haji yang hadir pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2019.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci Musim Haji 1440H/2019M di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA di sini hari ini.

Mahathir menambah Tabung Haji merupakan institusi pengurusan haji yang amat dekat dengan hati semua umat Islam di Malaysia.

Ujar beliau, jika sebelum adanya Tabung Haji, proses mengerjakan perjalanan haji amat sukar dan panjang.

Jelasnya, jemaah terpaksa menaiki kapal laut selama berbulan-bulan dan tiada tempat tinggal yang sempurna apabila tiba di Tanah Suci.

“Sekali lagi, saya ucap syabas kepada Tabung Haji atas komitmen yang telah diberikan dalam usaha mengekal dan menambah baik kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji setiap tahun.

“Saya harap Tabung Haji akan terus komited melangkah ke hadapan dengan usaha-usaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan, baik dari segi pengurusan haji, simpanan dan pelaburan, agar ia sentiasa berada pada tahap yang cemerlang dan menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain di seluruh dunia.

“Saya juga ingin ucap setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kedutaan Arab Saudi ke Malaysia atas kerjasama yang diberikan terutamanya berkaitan dengan kebajikan jemaah haji Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette