KUALA LUMPUR –  Sentimen global yang suram dan menjejaskan pertumbuhan serta faktor ketegangan dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan, dijangka terus memberi kesan terhadap dagangan di Bursa Malaysia pada minggu depan.

Ketika bursa tempatan mengalami penurunan untuk minggu ketiga berturut-turut, kalangan penganalisis menjangkakan indeks penanda aras FBM KLCI diniagakan secara berhati-hati pada jajaran antara 1,620 hingga 1,640.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, terdapat kemungkinan penurunan yang dialami bursa tempatan itu akan berlanjutan pada minggu depan kerana kekurangan pemangkin di peringkat tempatan.

“Bagaimanapun, memandangkan pasaran berada pada paras rendah akibat jualan berlebihan, ada kemungkinan berlaku pembetulan teknikal dan akan disusuli dengan aktiviti mencari saham berharga rendah, terutamanya saham perbankan,” katanya kepada Bernama.

Pong berkata oleh kerana keadaan pasaran kekal suram berikutan ketidaktentuan ekonomi global, para pelabur sebaliknya beralih kepada pelaburan lebih stabil seperti unit amanan hartanah (REIT).

Tindakan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) menurunkan kadar faedah juga menjejaskan indeks kewangan tempatan yang susut 353.08 mata dalam tempoh seminggu kepada 15,964.87 pada asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat.

Sementara itu, Rakan Pengurusan VM Markets Pte Ltd Stephen Innes berkata,  penurunan kadar faedah AS itu menyebabkan pelabur menumpukan strategi ekuiti pasaran sedang pesat membangun di Asia.

“Keadaan itu beserta peningkatan tarif terbukti memberi kesan kepada pasaran kerana ini menjejaskan nadi pertumbuhan pasaran serantau. Ini menyebabkan pelabur lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang pelaburan,” katanya.

Pada Khamis, Presiden AS Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif tambahan terhadap China membabitkan senarai panjang barangan termasuk telefon pintar, komputer riba dan pakaian kanak-kanak mulai 1 September 2019.

Beijing sebaliknya telah menegaskan untuk memberi respon sekiranya Washington terus mengenakan tarif tambahan terhadap baki import China.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, indeks FBM KLCI susut 21.20 mata kepada 1,626.76 daripada 1,647.96 minggu lepas.

Dagangan singkat minggu ini banyak dipengaruhi oleh prestasi Wall Street, rundingan dagangan AS dan China serta mesyuarat FOMC mengenai keputusan kadar faedah.

Bursa tempatan dan anak-anak syarikatnya ditutup pada 30 Julai bersempena pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Indeks FBM Emas merosot 181.63 mata kepada 11,516.79, Indeks FBMT 100 susut 174.66 mata kepada 11,345.00 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 133.97 mata kepada 11,926.52.

FBM 70 pula turun 331.66 mata kepada 14,356.22 dan Indeks FBM ACE berkurangan 75.43 mata kepada 4,689.34.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 353.08 mata kepada 15,964.87, Indeks Perladangan susut 89.46 mata kepada 6,689.17 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri kehilangan 1.57 mata kepada 154.22.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 10.06 bilion unit bernilai RM8.25 bilion berbanding 13.96 bilion unit bernilai RM9.90 bilion minggu lepas.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan susut kepada 6.40 bilion saham bernilai RM7.55 bilion berbanding 9.25 bilion saham bernilai RM9 bilion.

Jumlah waran susut kepada 1.92 bilion unit bernilai RM416.16 juta berbanding 2.36 bilion unit bernilai RM486 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan turun kepada 1.72 bilion saham bernilai RM264.95 bilion daripada 2.34 bilion saham bernilai RM411.64 bilion. – MalaysiaGazette