Saifuddin Nasution Ismail

GURUN – Isu ketirisan dan penyelewengan dalam agihan baja subsidi kepada petani, bukan berpunca di peringkat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), sebaliknya ia sering dikesan di peringkat lebih bawah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada segi jalur pengagihan baja, ia jelas menunjukkan bahawa tanggungjawab NAFAS selesai, selepas proses pengedaran dibuat kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Daripada PPK, agihan (baja) dilakukan kepada petani… Di sana penguatkuasa kita kesan ada kes (ketirisan baja) tapi tidak mencemaskan, tapi ia wujud.

“Penguatkuasa (kementerian) temui beberapa kes jualan baja subsidi kepada pihak tertentu, yang kemudiannya buat pembungkusan semula (baja),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di sini, hari ini.

Katanya, NAFAS juga merupakan pertubuhan di peringkat kebangsaan yang mempunyai struktur di peringkat negeri dan kawasan, justeru ia mempunyai kekuatan jaringan untuk memastikan keberkesanan pengagihan baja di peringkatnya.

“Jadi munasabah tiada penglibatan NAFAS (dalam isu ketirisan pengagihan baja),” kata Saifuddin yang diiringi Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi pada lawatan itu.

Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah MNFSB, Wan Kharizal Wan Khazim dan Pengurus Besar NAFAS, Ahmad Shaari.

Dalam pada itu katanya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti mengilang dan memborong baja di bawah Akta Bekalan 1961, pihaknya mengingatkan petani yang layak menerima baja subsidi, agar menggunakan kemudahan disediakan kerajaan itu sebaiknya.

“Daripada segi penguatkuasaan, walaupun isu ketirisan baja tidak berada pada tahap yang terlalu mengancam, namun kita cuba bendung di peringkat awal, kerana program ini bagi manfaat besar kepada golongan petani.

“Petani yang layak terima subsidi baja ini, sebaiknya manfaatkan untuk tanaman padi supaya hasil mereka lebih baik dan meningkat sehingga enam tujuh tan (sehektar),” katanya. – MalaysiaGazette