Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah berjanji dengan kepada pengundi-pengundi bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi perdana menteri sehingga ekonomi dipulihkan.

Sebaliknya, janji yang diberikan adalah pelantikan interim perdana menteri adalah untuk tempoh dua tahun sebelum jawatan tersebut diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP, Ronnie Liu berkata, DAP dan PKR memegang janji yang dibuat tetapi Dr Mahathir sehingga hari ini tidak menetapkan tarikh sebenar untuk peralihan kuasa.

“Sebaliknya, anda memberitahu ia mungkin dua hingga tiga tahun. Dan ada kalanya anda berkata hanya apabila ekonomi dipulihkan (siapa tahu berapa lama)?, katanya dalam satu kenyataan.

Ronnie turut mengungkit bahawa semasa PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berpeluang menjadi perdana menteri.

Seperti yang dilaporkan, Yang di-Pertuan Agong telah menawarkan jawatan perdana menteri kerana beliau menggepalai parti komponen dengan memenangi kerusi parlimen terbesar.

“Beliau boleh menerimanya tetapi tidak berbuat demikian. Kenapa?. Sebab beliau berpegang pada janji yang anda akan menjadi perdana menteri,” tambahnya.

Dalam keputusan pilihan raya itu, PKR memenangi 47 kerusi, DAP (42) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya 13.

“Meskipun, Bersatu hanya mendapat sedikit kerusi, PH mematuhi perjanjian dan bersetuju melantik anda sebagai perdana menteri untuk dua tahun. Kenapa? Sebabnya kami berpegang pada janji,” ujarnya.

Tambah Ronnie, baru-baru ini, terdapat beberapa keraguan sama ada perdana menteri berpegang teguh pada janji hinggakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berfikir Dr Mahathir memihak kepadanya.

“Sekarang, mengapa dan bagaimanakah beliau boleh mempunyai tanggapan sedemikian ? Mungkin kerana anda telah memberikan keyakinan itu dengan tingkah laku anda.

“Bukan hanya Azmin yang mempunyai keyakinan itu. Sesiapa yang mengikuti politik anda mempunyai tanggapan yang sama,” katanya lagi.

Ronnie mempersoalkan apakah yang Dr Mahathir lakukan untuk menidakkan tanggapan itu.

“Tiada, sebaliknya anda mengadakan pertemuan “rahsia” dengan pembangkang, kononnya dihadiri Azmin juga. Mengapa anda melakukannya dan menyebarkan percanggahan dalam PKR?

“Tun, saya harap anda sedar dengan PRU14, anda mempunyai peluang yang sangat jarang untuk menebus diri anda di mata pengundi yang menganggap anda melakukan banyak kesalahan semasa “tahun-tahun Mahathir”.

“Anda memainkan peranan penting dalam membantu PH memenangi pilihan raya. Dan ramai orang sanggup memberikan peluang dan menolak keraguan kerana percaya anda telah berubah menjadi lebih baik.

“Tun, tolonglah menjadi seorang lelaki yang berpegang pada janji untuk melepaskan jawatan itu selepas dua tahun supaya Anwar dapat mengambil alih sebagaimana telah dipersetujui.

“Inilah yang dipilih oleh pengundi. Mereka tidak mengundi untuk 5 tahun lagi anda sebagai PM. Mereka mengundi anda sebagai PM sementara, dengan Anwar kemudian mengambil alih. Sila hormati pengundi dan turun dengan hormat dalam tempoh masa yang telah dipersetujui,” katanya. – MalaysiaGazette