Kain rentang bantahan dilaporkan muncul di kawasan Parlimen Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan timbalanya, Teo Nie Ching, kedua-dua merupakan wakil rakyat dari Johor.

KUALA LUMPUR – Isu pembelajaran seni khat di sekolah rendah belum reda dengan kemunculan kain-kain rentang membantah rancangan itu di Johor Bahru, Kulai, Muar, Batu Pahat dan Kluang di Johor.

Kain rentang bantahan dilaporkan muncul di kawasan Parlimen Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan timbalanya, Teo Nie Ching, kedua-dua merupakan wakil rakyat dari Johor.

Sinchew Daily melaporkan, kain rentang itu antaranya memberi amaran bahawa pengajaran seni khat akan membuka satu ruang yang mungkin membawa kepada perubahan sistem sekolah Cina.

Dalam pada itu, Maszlee telah berjumpa dengan editor-editor kanan media berbahasa Cina untuk memberi penjelasan mengenai isu itu.

Muka depan Sinchew Daily dan China Press pada Isnin melaporkan bahawa Maszlee hanya menjawab “Ini soalan berdasarkan andaian” , apabila ditanya sama ada seni khat akan dimasukkan sebagai soalan peperiksaan pada masa depan.

Muka depan Kwong Wah Yit Poh pada Ahad pula melaporkan, netizen “mengebom” Nie Ching berhubung isu pengajaran seni khat Jawi.

dap bantah
Kain rentang bantahan dilaporkan muncul di kawasan Parlimen Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan timbalanya, Teo Nie Ching, kedua-dua merupakan wakil rakyat dari Johor.

Dalam pertemuan dengan editor, Maszlee menegaskan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan manakala tulisan Jawi merupakan warisan penting dalam bahasa Melayu.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya tiada mana-mana masyarakat termasuk masyarakat Cina yang akan meminta tulisan Jawi dalam jata negara dan lambang polis dimansuhkan.

“Niat Kementerian Pendidikan adalah supaya rakyat pelbagai kaum dapat memahami dan mengenali seni khat Jawi,” katanya dipetik Sinchew Daily.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan mahu memperkenalkan Jawi kepada murid dan tidak akan mewajibkan mereka menguasai tulisan itu atau menjadi pakar tulisan itu.

“Kalau ada orang yang mahu menguasai Jawi, ini pilihan dia dan kami tidak akan melarang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa DAP Wilayah Persekutuan, Fong Kui Lun berkata, semua ahli jawatankuasa senada membantah seni khat dalam pelajaran sekolah Cina dan Tamil.

sinchew
Seorang lelaki membaling telur ke pusat komuniti ADUN Menglembu, Chaw Kam Foon sambil mengeluarkan kata-kata kesat membantah keputusan kerajaan memperkenalkan pembelajaran seni khat di sekolah rendah. Selain di Johor bantahan turut dibuat di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa DAP Sarawak, Chong Chieng Jen pula berkata, sekolah Cina di Sarawak harus diberi pilihan untuk memutuskan sama ada seni khat harus diajar atau sebaliknya.

Selain itu, timbul juga dakwaan dalam media sosial bahawa 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Negeri Sembilan menyokong pengajaran seni khat. Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA, Ng Kian Nam telah menggesa DAP Negeri Sembilan yang diketuai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk memberi penjelasan.

Gerakan pula menggesa DAP Pulau Pinang menyatakan pendirian mengenai isu yang sama.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong juga membidas pemimpin DAP, Lim Kit Siang kerana pernah membantah secara keras pembelajaran Jawi dalam sekolah Cina pada 1984, tetapi kini menyokong perkara yang pernah dibantahnya.

Kit Siang pada Ahad mengakui pernah mempelajari Jawi dan memberitahu ia tidak menjejaskan beliau sebagai seorang keturunan Cina. – MalaysiaGazette