Simon Mignolet. Foto Liverpool FC

LONDON – Khidmat Simon Mignolet bersama pasukan Liverpool selama enam musim akhirnya sampai ke penghujung apabila penjaga gol Belgium itu bersetuju untuk kembali ke negaranya dengan menyertai Club Brugge.

The Guardian melaporkan, pemain berusia 31 tahun tersebut dilaporkan telah memeterai kontrak selama lima tahun.

Liverpool dan Club Brugge telah bersetuju dengan nilai perpindahan berjumlah £6.4 juta dan berpotensi untuk meningkat kepada £8.4 juta berdasarkan tambahan bonus mengikut prestasi pemain tersebut.

Mignolet telah kehilangan tempat selaku penjaga gol utama di Anfield kepada Loris Karius berikutan aksi yang kurang konsisten dipamerkannya.

Sekalipun penjaga gol Jerman tersebut dipinjamkan kepada Besiktas pada musim berikutnya selepas berdepan dengan mimpi ngeri dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid, Mignolet terus disisihkan dengan kehadiran Alisson Becker pada musim lalu.

Mignolet  menjadi sebahagian daripada skuad yang menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada musim lalu namun dia hanya beraksi dua perlawanan sahaja dalam semua kejohanan.

Dia tidak digunakan dalam perlawanan Perisai Komuniti berhadapan Manchester City malam tadi. – MalaysiaGazette