Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa beliau sendiri pernah mempelajari Jawi namun perkara itu tidak mengurangkan identiti Cina dalam dirinya sebenarnya mengejutkan ramai pihak.

Malah kenyataan tersebut dianggap tidak lebih daripada untuk  meredakan isu pengenalan tulisan jawi dan khat dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Pada masa sama, kenyataan tersebut telah mengecewakan segelintir pihak terutamanya yang mengundi DAP kerana menganggap parti itu jauh lebih lantang dalam memperjuangkan kebajikan bukan Melayu di negara ini.

Menurut Setiausaha sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali sebagai CSR Malaysia, Jeyaratnam Manium, beliau sebenarnya terkejut dan kecewa dengan kenyataan itu yang tidak lebih daripada kenyataan politik.

Jeyaratnam yang pernah berkhidmat sebagai setiusaha politik dengan beberapa kementerian sebelum ini menghubungi MalaysiaGazette bagi meluahkan perasaan tidak senang dengan pengenalan tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan itu.

Beliau berpendapat, tindakan tersebut hanya akan menyebabkan perpaduan sedia ada menjadi lebih kucar kacir dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Saya terpanggil membuat kenyataan ini sebagai rakyat Malaysia, sebenarnya apa niat pengenalan tulisan khat ini? Mengapakah ianya dikatakan akan memperkukuhkan lagi perpaduan sedia ada sedangkan sekarang lagi masing-masing sudah bergaduh sesama sendiri.

“Apakah kepentingan tulisan khat ini atau hanya sekadar permainan politik? Apa yang lebih mengejutkan ialah kenyataan daripada Lim Kit Siang yang selama ini sentiasa tampil vokal tetapi dalam hal ini secara tiba-tiba membuat kenyataan tidak di sangka-sangka?

“Saya hendak tanya, adakah beliau akan bercakap seperti ini dalam nada sama seandainya masih lagi menjadi pembangkang?

“Adakah ini ‘hadiah’ kepada kami yang mengundi anda, percayakan anda dan parti anda akan memperjuangkan nasib kami? Kami sebagai rakyat juga bekerja keras untuk menjadikan anda dari pembangkang kepada kerajaan tetapi anda terus bermain politik.

“Sebenarnya bukan sahaja isu khat, sebaliknya banyak lagi isu lain berkait dengan yang bukan Islam di mana rata-rata pemimpin ini hanya sekadar mendiamkan diri dan lebih ghairah mencari kesalahan kerajaan terdahulu, ianya tidak sama sekali ketika mereka menjadi pembangkang.

“Nampaknya selepas ini, rakyat Malaysia sepatutnya bukan sahaja berfikir panjang sebelum mengundi kerana bukan isu rasuah sahaja perlu diperjuangkan, sebaliknya banyak lagi perkara-perkara lain perlu di jadikan kriteria sebelum kita berikan undi,” katanya.

Jeyaratnam Manium

Kata Jeyaratnam, beliau tidak nampak apakah sebenarnya yang cuba disampaikan oleh kerajaan ketika ini dengan memperkenalkan penulisan khat dan mengaitkannya dengan soal perpaduan.

“Saya amat pasti Tun Dr Mahathir yang telah memerintah negara selama lebih 29 tahun ini sebenarnya sedia maklum apakah punca masalah perpaduan antara kaum selama ini.

“Adakah Jawi ini akan membantu perpaduan dalam kalangan kita? Jika benar, mengapa Cina, India atau lain-lain bukan Islam yang selama ini telah mempelajari Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih tidak lagi bersatu padu?

“Kerajaan dari awal sehingga kini masih lagi bercakap dan bercakap tentang isu perpaduan sehingga sekarang? Apakah kesannya kini?

“Tolonglah jangan paksa pelajar untuk menulis dalam bahasa Arab hanya kerana anda (ahli politik) mahu kami hidup bersatu padu sebagai rakyat Malaysia di bawah satu bumbung. Ini tidak masuk akal sebenarnya.

“Jika kamu ahli politik benar-benar ikhlas mahu melihat sebuah negara maju berkemahiran tinggi dengan mengenalkan lebih ramai rakyat berkualiti dan cekap dalam kalangan pelbagai bangsa serta budaya, tolonglah rombak sistem pendidikan sedia ada ini terlebih dahulu.

“Jangan terus berpolitik seperti ini dan memberikan pelbagai jenis alasan tidak masuk akal kononnya mahu memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar-pelajar kita, cukup cukuplah.

“Perkenalkan dan melaksanakan sesuatu yang akan mengembangkan modal insan seperti pelajaran robot, kajian ruang angkasa, teknologi roket nano serta subjek futuristik lain yang akan membantu mengembangkan otak muda dari awal persekolahan lagi.

“Penulisan khat ini sebenarnya hanya memberikan kesan kepada agenda politik segelintir selain memberikan pendapatan lebih kepada sesetengah pembekal buku-buku teks dan gagal memberikan manfaat kepada keseluruhan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Menerusi muat naik dalam blognya beberapa hari lepas, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu memberitahu, beliau mempelajari jawi ketika kali pertama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1969.

Pengenalan tulisan khat atau jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidikan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan menerusi Menterinya, Dr Maszlee Malik menegaskan untuk terus melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.

Senada dengan Maszlee, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulangi komitmen untuk meneruskan langkah tersebut dengan menganggap tentangan yang diterima hanya daripada segelintir pemimpin DAP. –MalaysiaGazette

Isu seni khat terus panas, DAP negeri didesak nyata pendirian