Kapal tangki milik Iraq yang dirampas Tehran kerana menjalankan penyeludupan minyak. foto Reuters

KAHERAH – Iran telah merampas sebuah lagi kapal tangki asing pada Rabu lalu di Kepulauan Teluk Parsi. , menurut media Tehran.

Kapal itu dibawa ke Bushehr dan minyaknya telah diserahkan kepada pihak berkuasa.

Komander Pengawal Revolusi Iran dipetik sebagai berkata, kapal dengan 700,000 tan minyak itu dipercayai menyeludup minyak bagi beberapa negara Arab.

Tehran kemudian mengesahkan kapal itu milik Iraq tetapi kewarganegaraan tujuh anak kapalnya belum diketahui.

Malah, setakat ini, kapal itu belum dilaporkan hilang.

Insiden yang dilaporkan itu berlaku di tengah ketegangan meningkat antara Tehran dan Amerika Syarikat selepas Washington mengetatkan sekatan terhadap sektor minyak Iran.

Sekatan itu dikenakan semula selepas Washington menarik balik perjanjian nuklear 2015.

Sebelum ini Iran menuduh berlaku penyeludupan minyak dan 13 Julai lalu pengawal pantainya menahan sebuah kapal Panama.

Pengawal Revolusi mendakwa kapal itu dirampas oleh tentera laut semasa melancarkan operasi mencari dan menangani penyeludupan terancang.

Bulan lepas, Iran merampas kapal tangki British, Stena Impero di Selat Hormuz dan mendakwa ia telah berlanggar dengan kapal nelayan.

Amerika Syarikat turut menyalahkan Iran berhubung dua serangan berasing menggunakan bahan letupan hingga merosakkan tangki-tangki minyak di Teluk Oman pada bulan Mei dan Jun.

Tetapi Tehran telah menafikannya. – MalaysiaGazette