Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah

KUALA LUMPUR – Saksi berprofil tinggi bagi perbicaraan SRC International Sdn. Bhd., Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah disifatkan sebagai ‘angry man’ apabila didakwa memberi keterangan di mahkamah hari ini.

Menurut Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kenyataan balas diberikan oleh bekas Menteri Kewangan II itu adalah ‘mengelirukan’.

Muhammad Shafee memerlukan sedikit masa untuk berbincang dengan anak guamnya kerana tindak tanduk Ahmad Husni yang memberi gambaran bahawa beliau sangat marah dengan Najib berdasarkan keterangan ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Fauzan.

“Ahmad Husni berkelakuan seperti ‘angry man’ (lelaki yang sedang marah) terhadap Najib.

“Saya perlu mengambil kenyataan terperinci daripada anak guam saya terlebih dahulu berikutan tindakan saksi ini bagi memastikan pemeriksaan balas lancar nanti.

“Nampaknya kenyataan oleh beliau berbeza daripada keterangan lisan,” katanya kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebentar tadi.

Muhammad Shafee kemudian memohon kepada Mohd Nazlan agar diberikan masa sehingga pagi Khamis bagi membolehkan beliau melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi ke-55 itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram bangkit menyoal mengapa ia perlu dilakukan sedangkan keterangan Ahmad Husni hanya berdasarkan dokumen.

Muhammad Shafee  menjelaskan ada perkara yang mengejutkan pihaknya dan beliau perlu masa untuk membuat persediaan.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan Khamis pagi untuk menyambung perbicaraan dengan Ahmad Husni memberikan keterangan kepada pasukan peguam bela.

Antara sebab lain mengapa perbicaraan ini tidak dapat disambung esok adalah kerana pasukan pembelaan akan berada di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar Datuk Gopal Sri Ram sebagai Ketua Pendakwa untuk kes 1MDB.

Terdahulu, Ahmad Husni berkata, wujudnya unsur ‘autokratik’ dalam operasi SRC International daripada aspek perniagaan mahupun syarikat itu diurus.

Perbicaraan bersambung jam 9 pagi Khamis ini. – MalaysiaGazette